Rumah panjang Sarawak antara lapan kluster Covid-19 baharu


Ragananthini Vethasalam

Tiga kluster penularan komuniti dan lima kluster tempat kerja dilaporkan hari ini, kata Dr Noor Hisham. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 April, 2021.

LAPAN kluster Covid-19 baharu dilaporkan hari ini, salah satunya melibatkan komuniti rumah panjang di Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster ini adalah kluster Abak Bon dari 34 kes di Subis dan Miri. Kes indeks adalah pesakit pra-pembedahan ujian saringan Covid-19 .

Kluster yang diklasifikasikan sebagai penularan komuniti itu dinamakan sempena rumah panjang di Miri, di mana kebanyakan pesakit positif tinggal.

Selain Abak Bon, pihak berkuasa kesihatan juga mengesan dua kluster jangkitan komuniti lain, iaitu Nangka Kelangas dan Meruntum.

Kluster Meruntum dengan lapan jangkitan dikesan di Putatan dan Penampang, Sabah berpunca dari majlis sosial.

Nangka Kelangas di Julau, Sarawak, sebaliknya, dijejak melalui pesakit indeks simptomatik. Kumpulan ini melaporkan 37 kes setakat ini.

Lima kluster lain berkait dengan tempat kerja.

Selangor dan Sarawak masing-masing melaporkan dua kluster tempat kerja, sementara Kelantan melaporkan satu.

Kluster tersebut dikesan di kilang, institusi pendidikan dan bangunan pentadbiran awam.

Dr Noor Hisham juga mengumumkan berakhirnya kluster Melor, Jalan i-Park Tiga, Industri Waja, Bukit Putra, Kampung Sungai Maong, Jalan Kabel Gemilang, Jalan Sungai Baong, dan Jalan Industri Tiga.

Dengan ini, jumlah kluster aktif di negara ini kini berjumlah 343. – 11 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen