Surat berita bawah tanah lawan sekatan Internet tentera di Myanmar


Penunjuk perasaan memegang sepanduk dan berarak di jalan raya di Mandalay, Myanmar. Pelbagai usaha dilakukan junta tentera bagi menyekat kemaraan penunjuk perasaan termasuk menyekat akses internet.– Gambar EPA, 11 April, 2021.

ANAK muda Myanmar melawan tindakan junta menyekat internet dan penyaluran maklumat dengan menerbitkan surat berita yang diedarkan secara bawah tanah dalam kalangan rakyat.

Sejak rampasan kuasa oleh tentera pada 1 Februari lalu, kemudahan internet telah disekat selama 56 hari, kata kumpulan pemantau NetBlocks.

Lynn Thant, yang namanya disamarkan, memulakan surat berita bawah tanah itu yang diberi nama Molotov.

“Ini tindak balas kami kepada mereka yang cuba menahan arus maklumat – yang merupakan satu ancaman kepada kami,” katanya, dipetik agensi berita AFP.

Rampasan kuasa menjatuhkan kerajaan Aung San Suu Kyi yang menang pilihan raya pada November 2020 mencetuskan kebangkitan rakyat yang kemudian cuba dipatahkan oleh pihak berkuasa sehingga menyebabkan lebih 700 orang awam terbunuh.

Surat berita itu menemui ribuan pembaca di seluruh Myanmar apabila ia dimuat turun dalam bentuk PDF dan dicetak semula untuk diedar di beberapa bandar terutamanya di Yangon dan Mandalay.

Lynn Thant sedar akan risiko yang diambilnya.

Polis dan tentera menahan lebih 3,000 orang sejak rampasan kuasa, kata kumpulan aktivis tempatan yang memberi bantuan kepada tahanan politik.

Antara yang sedang diburu oleh pihak berkuasa termasuk 180 selebriti terdiri daripada pelakon, penyanyi dan mereka yang berpengaruh di media sosial, atas dakwaan menyebarkan penentangan terhadap tentera.

Mereka berdepan ancaman penjara tiga tahun.

“Kalau kita menulis penerbitan revolusioner dan menyebarkannya seperti ini, kita boleh disumbat ke penjara selepas bertahun-tahun,” katanya.

Namun Lynn Thant percaya kalau mereka ditangkap, usaha itu akan diteruskan oleh anak muda lain.

“Kalau antara kami dibunuh pun, akan ada orang lain yang akan bangkit. Surat berita Molotov akan terus wujud sampai revolusi ini berjaya.”

Myanmar pernah diperintah oleh tentera selama 49 tahun sebelum berjinak-jinak dengan demokrasi sejak 2011.

Sejak rampasan kuasa juga sekurang-kurang 64 wartawan ditahan dengan 33 masih dalam tahanan, kata badan pemantau.

Junta juga mencabut lesen operasi lima bilik berita. – AFP, 11 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen