Ahmad Maslan cadang Bersatu tukar warna rasmi


Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata merah adalah warna Umno dan tidak harus jadi warna Bersatu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 April, 2021.

SETIAUSAHA Agung Umno Ahmad Maslan mencadangkan kepada Bersatu agar menukar warna rasminya kepada warna lain yang tidak sama dengan warna yang dipakai oleh Umno.

Katanya, merah adalah warna Umno dan tidak harus jadi warna Bersatu, yang disebutnya PPBM iaitu akronim Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

“Merah ini warna Umno, bukan warna PPBM. Saya ingin mencadangkan secara terus terang, tukarlah warna kamu tu, apa hal nak cari dan curi warna Umno?

“Umno baju merah ni dah zaman-berzaman… dah 75 tahun. Pakailah baju coklat atau warna lain. Tak tahu malu ke nak mengguna warna orang. Itu sedikit sindiran.

“Minta maaf… kalau terasa, terasalah,” katanya, dalam wawancara di Facebook yang disiarkan oleh Umno Online, malam tadi.

Bersatu ditubuhkan pada September 2016 oleh beberapa bekas pemimpin Umno diketuai Dr Mahathir Mohamad, menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bersatu menggunakan warna rasmi merah dengan lambang bunga raya, sementara Umno memakai keris pada benderanya.

Beberapa bulan selepas penubuhannya, Bersatu menyertai Pakatan Harapan (PH) dan bersama-sama membentuk kerajaan di Putrajaya dan di beberapa negeri selepas gabungan itu menang PRU15.

Pada Februari 2020, presidennya Muhyiddin Yassin menarik Bersatu keluar dari PH dan seterusnya membentuk kerajaan gabungan baharu bersama Umno dan Barisan Nasional (BN) serta PAS, dan disokong oleh parti-parti dari Sarawak dan Sabah.

Umno kemudian bertelagah dengan Bersatu susulan isu pengagihan jawatan dalam kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Umno mempertahankan Bersatu hanya sebuah parti kecil yang menjadi teraju kerajaan dengan dukungan bekas ahli Parlimen Umno yang keluar parti.

Perbalahan terbuka itu akhirnya membawa kepada keputusan Umno untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya akan datang, yang diputuskan dalam perhimpunan agungnya baru-baru ini.

Umno juga memutuskan akan bertanding dengan lambang BN pada PRU15 nanti. – 11 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen