Umno putuskan tarikh pemilihan parti pada mesyuarat Ramadan, kata Ahmad Maslan


Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata parti akan memutuskan tarikh pemilihan pada mesyuarat yang akan diadakan pada Ramadan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 April, 2021.

UMNO akan memutuskan pada Ramadan ini sama ada parti itu akan mengadakan pemilihan atau menangguhkannya selepas pilihan raya umum, kata Ahmad Maslan.

Setiausaha agung parti itu berkata majlis tertinggi parti itu akan bermesyuarat pada Ramadan yang dijangka bermula pada hari Selasa.

“Mesyuarat MKT akan kita lakukan dalam bulan Ramadan - yang kemungkinan besar bermula Selasa depan. Dan dalam bulan Ramadan itu, kita belum tetapkan tarikhya bila (mesyurat MKT).

“Saya kiralah, dalam mesyuarat itu akan ditentukan bilakah kita ingin mengadakan pemilihan parti.

“Ada atau tidak pemilihan parti, itu bergantung pada keputusan MKT. Dalam perlembagaan Umno, MKT berhak untuk menentukan,” katanya semasa temubual dengan portal parti itu, Umno Online. 

Tempoh mandat kepimpinan Umno sekarang akan tamat pada 30 Jun 2021.

Tetapi Perlembagaan Umno membenarkan majlis tertinggi untuk menangguhkan pemilihan untuk jangka masa tidak lebih dari 18 bulan dari tarikh yang dijadualkan diadakan.

Sebelum ini, parti itu telah menunda pemilihan yang sepatutnya diadakan pada malam pilihan raya umum.

Gesaan untuk mengadakan pemilihan parti dalam beberapa minggu kebelakangan ini mendapat sambutan dengan permintaan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin agar kepimpinan Umno mengetuai pemilihan parti tahun ini untuk menyelesaikan masalah dalaman parti.

Beliau mendapat sokongan oleh Ketua Pemuda Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mengatakan pemilihan Umno perlu dibawa ke hadapan dengan syarat pemimpin parti yang memegang jawatan dalam kerajaan melepaskan jawatan mereka.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan ketika berucap pada Perhimpunan Agung Umno 2020 dua minggu lalu berkata pemilihan Umno harus diadakan tahun ini tetapi keutamaan perlu diberikan kepada PRU15.

Bagaimanapun bekas presiden parti dan Ahli Parlimen Pekan Najib Razak berkata bahawa mengadakan pemilihan Umno sebelum PRU15 boleh menyebabkan perpecahan dalam parti dan membiarkan parti lain “mencuri” calon yang kalah.

Beliau berkata ramai pihak menunggu peluang untuk melemahkan parti dengan cara ini.

“Mereka (parti lain) akan menunggu pemilihan dalam Umno, jadi dari serpihan pihak yang kalah akan diundang atau dipujuk atau ditawarkan untuk menyertai parti mereka,” katanya.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata beliau akan mengadakan PRU15 dengan segera selepas pandemik Covid-19 terkawal. – 11 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen