China cadang campur vaksin Covid-19


Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China Gao Fu berkata, pihak berkuasa sedang mencari jalan untuk mengatasi masalah kadar keberkesanan vaksin sedia ada. – Gambar EPA, 11 April, 2021.

CHINA sedang menimbang untuk mencampur vaksin Covid-19 berbeza jenis untuk meningkatkan tahap keberkesanan yang rendah, kata laporan.

Media tempatan The Paper memetik Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China Gao Fu berkata, pihak berkuasa sedang mencari jalan untuk mengatasi masalah kadar keberkesanan rendah vaksin sedia ada.

Gao pakar kesihatan pertama yang secara terbuka menyentuh isu keberkesanan vaksin buatan China, ketika program imunisasi di negara itu berjalan lancar. Malah vaksin buatan China juga dieksport ke seluruh dunia.

Sebanyak 161 juta dos vaksin telah diberi kepada penduduk China sejak program imunisasi dimulakan tahun lalu. Negara itu mensasarkan 40% daripada 1.4 bilion populasinya lengkap menerima dua dos vaksin menjelang Jun.

Bagaimanapun, masih ramai yang belum mendaftar untuk mendapatkan vaksin ekoran kehidupan penduduk di China sudah kembali normal dan jangkitan terkawal.

Gao sebelum ini menegaskan cara terbaik untuk mengekang pandemik Covid-19 adalah dengan pengambilan suntikan vaksin. Dalam wawancara bersama media tempatan baru-baru ini, Gao berkata China mensasarkan 70% hingga 80% penduduknya telah disuntik vaksin antara akhir tahun ini dan awal 2022.

Pada sidang media di Chengdu semalam, Gao berkata salah satu pilihan untuk mengatasi masalah keberkesanan rendah vaksin Covid-19 ialah dengan memberi dua dos berbeza.

Langkah ini juga sedang dikaji oleh pakar-pakar kesihatan di luar China.

Penyelidik tidak boleh mengenepikan vaksin mRNA hanya kerana China sudah menghasilkan beberapa vaksin Covid-19 dan pembangunan lebih lanjut berkaitan vaksin perlu dilaksanakan, dan pembangunan lebih lanjut perlu disegerakan, katanya dipetik The Paper.

Vaksin buatan China yang sedia ada bukan jenis mRNA seperti yang dihasilkan firma farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), Pfizer dan BioNTech serta Moderna. – AFP, 11 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen