Kedudukan presiden Umno makin tidak kukuh, kata Khairy


Timbalan Ketua Umno Bahagian Rembau Khairy Jamaludin mengulangi gesaan supaya pemilihan Umno perlu diadakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 April, 2021.

TIMBALAN Ketua Umno Bahagian Rembau Khairy Jamaludin yang mengulangi gesaan supaya pemilihan Umno perlu diadakan berkata, kedudukan Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam parti tersebut semakin tidak kukuh.

Khairy berkata ini berikutan kebocoran satu klip audio yang didakwa sebagai perbualan antara Zahid dan Presiden PKR Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Berikutan itu, beliau mengesa agar Majlis Tertinggi parti itu untuk bertemu segera dan membenarkan untuk pemilihan parti itu diadakan secepat mungkin.

“Saya rasa, ramai ahli dalam parti kurang selesa dengan perbualan telefon yang didakwa antara presiden parti kita dengan Anwar. Kedudukan Zahid pada saya, kini tidak lagi kukuh dan cara terbaik untuk bergerak kehadapan adakan pemilihan parti,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas pelancaran Kempen Kesedaran Autisme Champs-Nasom 2021 di Subang Jaya, hari ini.

Baru-baru ini, satu rakaman audio perbualan antara dua individu dengan suara menyamai Zahid dan Anwar, yang didakwa berlangsung selepas Perhimpunan Agung Umno, bocor di sosial media. – Bernama, 9 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen