Pakatan terbuka kerjasama dengan Umno dan parti lain pada PRU15


PAKATAN Harapan (PH) terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik demi kepentingan rakyat, katanya hari ini.

Ia berkata perbincangan dan kerjasama harus berdasarkan prinsip dan agenda reformasi.

Walaupun tidak menyebut secara khusus mengenai Umno, persetujuan sebulat suara ini menunjukkan lampu hijau daripada DAP dan Amanah bagi kerjasama dengan parti Melayu itu.

Gabungan itu juga memutuskan pengerusinya dan Presiden PKR Anwar Ibrahim akan menjadi calon perdana menteri pada pilihan raya akan datang.

Beliau juga akan mengetuai kempen pilihan raya PH.

Ini adalah sebahagian daripada Resolusi Port Dickson PH yang dipersetujui oleh para pemimpin parti dalam permukiman dua hari di Port Dickson.

Permukiman tersebut dihadiri oleh Anwar, Mohamad Sabu daripada Amanah, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, semua anggota Majlis Presiden PH dan pemimpin pelbagai sayap dalam ketiga-tiga parti.

Hadir sama Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Keputusan PH untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik membolehkan Anwar meneruskan perbincangan dengan Umno dan presidennya Ahmad Zahid Hamidi.

Sebelum ini, DAP dan Amanah menyatakan tidak setuju untuk bekerjasama dengan “Umno yang kleptokratik” ketika cakap-cakap muncul mengenai kemungkinan hubungan antara gabungan itu dengan Umno.

Anwar juga mengakui beliau mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan pemimpin Umno.

Bagaimanapun, Umno semasa perhimpunan agung tahunannya baru-baru ini bersetuju untuk tidak bekerjasama dengan Anwar, DAP dan Bersatu pada PRU15.

Namun, parti itu berkata terbuka untuk menjalin perjanjian dengan sesiapa sahaja selepas pilihan raya.

Walaupun Anwar dan Zahid tidak secara terbuka mengakui perbincangan mereka untuk bekerjasama, ada desas-desus berkata mereka sudah membentuk persefahaman.

Baru-baru ini, klip audio perbualan kononnya melibatkan Zahid dan Anwar tular, yang mengandungi perbincangan mengenai gerakan politik mereka.

Kedua-duanya menafikan ketulenan klip audio berkenaan. – 9 April, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen