Malaysia kaji kesan darah beku babit AstraZeneca sebelum digunakan, kata Khairy


EMA mendapati kemungkinan kaitan antara vaksin AstraZeneca. – Gambar EPA, 8 April, 2021.

MALAYSIA akan membincangkan penemuan terbaru Badan Perubatan Eropah (EMA) mengenai kaitan vaksin Covid-19, AztraZeneca dengan kes pembekuan darah yang jarang berlaku, sebelum memutuskan apakah vaksin itu masih boleh digunakan, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata perkara itu akan dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Khas Pembekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

“Kami ambil maklum pengumuman EMA mengenai vaksin AstraZeneca. JKJAV akan mempertimbangkan perkara itu dan memutuskan sama ada akan terus menggunakan AZ dalam portfolio vaksin kami.

“Keselamatan paling penting,” tulis menteri sains, teknologi dan inovasi itu di Twitter hari ini.

Khairy mengulas tweet oleh EMA, memetik pengarah eksekutifnya, Emer Cooke, yang berkata selepas analisis mendalam, kesimpulan dicapai yang kes pembekuan darah dilaporkan selepas suntikan vaksin AstraZeneca, “sepatutnya disenaraikan sebagai kemungkinan kesan sampingan vaksin”.

EMA di laman webnya dua hari lalu berkata ia mendapati kemungkinan kaitan antara vaksin dan “kes sangat jarang berlaku melibatkan pembekuan darah dengan platelet darah rendah”.

Tetapi ia juga menegaskan risiko-manfaat keseluruhan vaksin AstraZeneca adalah positif.

Khairy semalam berkata Malaysia masih mempunyai masa untuk memutuskan apakah akan meneruskan vaksin AstraZeneca kerana penghantarannya hanya dijadualkan pada Mei.

Malaysia memperoleh 6.4 juta dos, atau dua dos bagi setiap satu untuk 3.2 juta orang.

Selain vaksin AstraZeneca dan PfizerBioNTech yang diberikan dalam fasa pertama program imunisasi yang bakal berakhir, vaksin lain yang akan diperoleh adalah Sinovac dan CanSino buatan China, dan vaksin Sputnik V dibangunkan Gamaleya dari Rusia.

Kesemua vaksin ini akan merangkumi sekitar 83% daripada 26.5 juta penduduk Malaysia dengan harga RM2.05 bilion, umum Khairy. – 8 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen