Tangguh Undi18 memalukan, kata Muda


Negara autokratik seperti Myanmar pun membenarkan belia 18 tahun mengundi, kata Muda.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 April, 2021.

MEMALUKAN apabila Malaysia masih belum melaksanakan Undi18 sedangkan negara autokratik seperti Myanmar membenarkan belia 18 tahun mengundi, kata Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dalam satu memorandum kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Had umur minimum mengundi di Myanmar, yang sedang mengalami krisis politik akibat rampasan kuasa, adalah 18 tahun.

Muda mengesyorkan kerajaan mengambil jalan tengah, termasuk membenarkan anak muda berusia 18 tahun mendaftar sebagai pengundi menggunakan sistem sedia ada.

“Jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terbeban dengan birokrasi dan teknologi pangkalan data yang ketinggalan zaman, jadi benarkan anak muda berusia 18 tahun mengundi sama seperti pengundi sedia ada,” katanya dalam memorandum bertarikh 5 April.

Muda mencadangkan agar proses dan mekanisme pendaftaran pengundi yang telah diguna pakai sejak berpuluh tahun dilaksanakan dalam isu Undi18.

“Cadangan ini dapat dilaksanakan segera dan ia tidak memerlukan sebarang tambahan peruntukan daripada kerajaan.”

SPR pada 25 Mac lalu berkata pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

Pengerusinya Abdul Ghani Salleh dalam satu kenyataan berkata pandemik Covid-19 menjejaskan perancangan dan persiapan SPR menjayakan pendaftaran pemilih automatik serta undi 18, yang sebelum ini sepatutnya dijangka dilaksanakan Julai.

Persiapan ke arah pelaksanaan itu masih berjalan dan dalam tindakan sewajarnya, tambah beliau.

Muda berkata masalah ini boleh diselesaikan dengan menggunakan teknologi.

“Apa gunanya kita bercakap tentang Revolusi Industri 4.0, data raya atau umum rangka tindakan ekonomi digital jika isu kecil seperti ini tidak boleh diselesaikan,” katanya. – 7 April, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen