Dr Mahathir silap label DAP ekstrem, kata Guan Eng


Lim Guan Eng adalah menteri kewangan dalam Kabinet Dr Mahathir Mohamad ketika kerajaan Pakatan Harapan memerintah selepas PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 April, 2021.

DR Mahathir Mohamad silap bila melabelkan DAP sebagai parti ekstrem yang hanya berkhidmat untuk satu komuniti, kata Lim Guan Eng.

Setiausaha agung DAP itu berkata sejarah dan fakta membuktikan DAP adalah parti pelbagai kaum yang mewakili semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

“DAP menolak gambaran oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohmad yang menunjukkan DAP sebagai ekstremis, kerana salah, tidak berasas dan tidak wajar,” katanya yang juga ahli Parlimen Bagan dalam satu kenyataan hari ini.

Lim yang pernah menjadi menteri kewangan dalam Kabinet Dr Mahathir ketika kerajaan Pakatan Harapan memerintah, juga berkata partinya berkhidmat dan membantu semua bangsa dan kaum, sama ada ketika ia dalam kerajaan atau pembangkang.

“DAP tidak pernah diskriminasi atau mengambil tidakan tidak selaras dengan hak dan kepentingan rakyat Malaysia, sama ada Melayu atau bukan Melayu, Islam atau bukan Islam.

“Pemimpin DAP ramai yang pernah dipenjarakan kerana mempertahankan hak kedua-duanya, Melayu dan bukan Melayu.”

Beliau berkata Dr Mahathir silap apabila beliau gagal melihat DAP sebagai inklusif dan wakil rakyatnya dipilih daripada semua kumpulan kaum utama di negara ini termasuk Melayu dan calon dari Sabah dan Sarawak.

Lim berkata DAP tidak pernah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, bukannya seperti parti komponen dalam Perikatan Nasional atau Barisan Nasional yang rasis dan ekstremis kerana mahu mewakili hanya satu kaum atau kumpulan agama saja. – 5 April, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen