Ada ribuan kerja kosong, kata kumpulan majikan


Ragananthini Vethasalam

Kumpulan majikan berkata walapun Covid-19 mencabar ekonomi dan menyukarkan pasaran buruh, namun beribu peluang pekerjaan tersedia untuk pencari kerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 April, 2021.

WALAUPUN Covid-19 mencabar iklim ekonomi dan menyukarkan keadaan pasaran buruh, namun kumpulan majikan berkata ada beribu-ribu kerja kosong tersedia untuk diisi.

Mereka berkata, ada lebih banyak pekerjaan tersedia untuk mereka yang mencari peluang pekerjaan.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan berkata, sebanyak 739,743 jawatan kosong tersedia pada 2020 berbanding 413,695 pencari kerja.

Menurutnya antara 1 Januari dan 26 Mac, 2021 terdapat 468,102 kekosongan kerja yang terdapat di portal pekerjaan nasional, MYFutureJobs sementara seramai 183,797 orang mencari kerja.

“Sudah tentu satu-satunya harapan kami agar ia menjadi pusat padanan pekerjaan yang akan mencerminkan keadaan nasional (pasaran buruh) mengenai kekosongan pekerjaan dan permohonan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau  berkata kesedaran di portal dapat ditingkatkan lagi.

Dengan memberikan penjelasan mengenai kedudukan yang ada di portal, Shamsuddin berkata terdapat 122,629 jawatan tersedia untuk pekerjaan biasa dan 64,484 kekosongan untuk professional.

Portal MYFutureJobs yang merupakan inisiatif di bawah Kementerian Sumber Manusia membolehkan majikan dan pencari kerja mengiklankan jawatan kosong atau memohon pekerjaan.

Kekosongan lain yang ada termasuk jawatan pengurus (16,235), juruteknik dan profesional (48,035), kerana sokongan (22,446), perkhidmatan dan penjualan (72,212), pekerja pertanian, perhutanan, ternakan dan perikatan mahir (1,701), pekerja kraf dan perdagangan yang berkaitan (30,200) serta pengendali kilang dan mesin serta pemasangan (35,753).

Dari segi sektor, Shamsuddin berkata bahawa jawatan ini tersedia di sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan.

Walaupun hanya jawatan ini tersedia di portal, beliau berkata ada juga jawatan kosong yang diiklankan oleh majikan melalui medium lain.

Shamsuddin juga berkata kerajaan melibatkan MEF untuk memberi input mengenai pembuatan dasar.

“Penciptaan pekerjaan baharu di sektor swasta sangat penting kerana secara tradisional sektor swasta menyediakan sekitar 90% peluang pekerjaan.

“Masih ada persepsi oleh pencari kerja bahawa gaji rendah ketika ini tetapi itu adalah keadaan pasaran. 

“Juga beberapa majikan mungkin tidak dapat menawarkan pekerjaan jangka panjang atau tetap dan mereka mungkin memlihi kontrak yang lebih pendek,” katanya.

Beliau menasihatkan pendatang baharu ke pasaran kerja untuk menerima kerja sedia ada bagi mendapatkan pengalaman dan kemudian mencari prospek yang lebih baik.

“Saya rasa yang penting bagi pencari kerja terutama lulusan baharu adalah mereka perlu menerima pekerjaan seperti itu kerana selepas mereka mempunyai pengalaman, akan lebih mudah bagi mereka untuk diterima bekerja pada masa depan,” katanya.

Kerajaan menyasarkan untuk membuka 500,000 pekerjaan melalui Majlis Pekerjaan Nasional (NEC) walaupun negara berada dalam situasi ekonomi yang buruk akibat pandemik Covid-19.

Skim JanaKerja diharapkan dapat mewujudkan 250,000 peluang pekerjaan sementara program latihan semula dan peningkatan kemahiran akan membuka 200,000 peluang. Sementara itu skim MyStep akan menambah 50,000 peluang pekerjaan.

Majlis ini dipengerusikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan dianggotai oleh barisan menteri, tokoh korporat dan pakar.

Presiden MEF Dr Syed Hussain Syed Husman dan Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) adalah sebahagian daripada majlis itu. – 5 April, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen