Arab Saudi lancar inisiatif hijau lindungi alam semula jadi


Inisiatif 'Green Saudi' adalah satu wawasan untuk meningkatkan kualiti hidup dan melindungi generasi akan datang. – Gambar AFP, 31 Mac, 2021.

DUA inisiatif hijau baharu Arab Saudi “Green Saudi” dan “Green Middle East” yang dilancarkan Putera Mahkota Mohammed bin Salman pada Ahad (28 Mac) bertujuan menetapkan hala tuju usaha melindungi alam semula jadi negara itu serta Semenanjung Arab.

Dalam satu kenyataan, Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur, hari ini berkata inisiatif itu bertujuan memberikan gambaran lebih jelas ke arah menyumbang kepada pencapaian sasaran global untuk menangani perubahan iklim.

“Pengumuman ini bertujuan menggabungkan usaha negara di rantau itu menghasilkan rancangan terperinci untuk inisiatif yang dapat dicapai bagi meningkatkan kesihatan awam dan kualiti hidup rakyat serta penduduk di wilayah ini pada suku tahun ini,” kata kenyataan itu.

Inisiatif “Green Saudi” itu satu wawasan untuk meningkatkan kualiti hidup dan melindungi generasi akan datang.

Ia merangkumi usaha menanam pokok, mengurangkan pelepasan karbon dan merancang projek  tenaga boleh baharu yang akan meningkatkan perkongsian tenaga bersih dalam negara kepada 50% menjelang 2030.

Sementara inisiatif “Green Middle East” pula bertujuan menyelaraskan usaha pembangunan wilayah dan antarabangsa, dilancarkan kerajaan sebagai panduan untuk wilayah tersebut menyumbang secara signifikan terhadap sasaran global untuk menangani perubahan iklim. – Bernama, 31 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen