Cuba mula uji vaksin Covid-19 kedua pada petugas kesihatan


Cuba mulai memberikan vaksin Abdala kepada 124,000 petugas kesihatan yang mana vaksin itu juga masih dalam fasa 3 ujian klinikal. – Gambar EPA, 30 Mac, 2021.

CUBA mula memvaksin puluhan ribu petugas kesihatan dengan vaksin kedua Covid-19 semalam walaupun belum menyelesaikan ujian klinikal.

Minggu lepas Cuba mula memvaksini 150,000 petugas kesihatan dengan vaksin Soberana 2 yang masih dalam fasa ketiga ujian klinikal.

Semalam, negara kepulauan itu mulai memberikan vaksin Abdala kepada 124,000 petugas kesihatan yang mana vaksin itu juga masih dalam fasa 3 ujian klinikal.

Cuba juga membangunkan dua vaksin lain – Mambisa dan Soberana 1 – yang masing-masing masih dalam fasa 1 dan fasa 2.

“Kajian intervensi terkawal dengan vaksin Abdala telah dipersetujui oleh badan pengawas Cuba pada Sabtu lepas dan semalam kami mulai melakukan vaksinasi,” kata Rolando Perez, pengarah sains dan inovasi di syarikat farmaseutikal negeri BioCubaFarma menerusi televisyen kerajaan.

Penduduk Cuba berusia antara 19 dan 80 tahun “dengan risiko tinggi” dijangkiti mengambil bahagian dalam kajian intervensi sementara 48,000 sukarelawan lain mengambil bahagian dalam kajian klinikal fasa 3 selari untuk Abdala.

Kajian intervensi ketiga juga menggunakan Soberana 2 bertujuan untuk memvaksinasi 1.7 juta penduduk di Havana termasuk atlet yang layak ke Sukan Olimpik, Tokyo bermula Julai.

Dua inisiatif Soberana 2 akan selesai pada Mei. Tidak seperti ujian klinikal biasa, kajian intervensi tidak menggunakan sebarang ubat atau rawatan palsu.

Kerajaan Cuba merancang untuk memulakan program vaksinasi formal pada Jun dan pada masa itu mereka berharap vaksin yang pertama dibenarkan dikembangkan serta dihasilkan di Amerika Latin.

Perez berkata BioCubaFarma merancang untuk melakukan ujian klinikal pada kanak-kanak berusia lima tahun mulai April.

Cuba terpaksa membangunkan vaksin sendiri sejak 1980-an susulan sekatan yang dikenakan Amerika Syarikat bermula 1962.

Lapan daripada 11 vaksin dalam program imunisasi dihasilkan secara tempatan.

Negara yang mempunyai 11.2 juta relatif tidak terkena wabak koronavirus mencatat 73,000 kes dengan 417 kematian. – AFP, 30 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen