Gantung 6 tahun cetus spekulasi, kata Tun Faisal


Ragananthini Vethasalam

Tun Faisal Ismail Aziz berkata tempoh enam tahun itu boleh dipertikaikan terutama apabila kepimpinan parti gagal memberi penjelasan yang sewajarnya berhubung tindakan disiplin itu.–Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 30 Mac, 2021.

TUN Faisal Ismail Aziz berkata penggantungannya selama enam tahun dari Umno menimbulkan spekulasi termasuk tanggapan bahawa ia satu amaran kepada suara lantang yang mengkritik kepimpinan parti.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Putrajaya berkata tempoh enam tahun itu boleh dipertikaikan terutama apabila kepimpinan parti gagal memberi penjelasan yang sewajarnya mengenai tindakan disiplin itu.

Jelas Tun Faisal, keputusan yang dibuat ketika perhimpunan agung Umno juga membuka ruang spekulasi amaran itu.

“Menjatuhkan hukuman penggantungan selama enam tahun sedangkan saya tidak terlibat dengan politik wang, mensabotaj parti dan melanggar dasar parti juga mendatangkan spekulasi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tun Faisal juga tidak pasti sama ada tindakan disiplin terhadapnya sebenarnya satu mesej kepada Annuar Musa yang diketahui kuat mengkritik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Tun Faisal ialah setiausaha akhbar kepada Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan.

“Saya tak pasti, tapi setakat ini ia membuka ruang kepada spekulasi bahawa ini adalah amaran kepada ramai perwakilan, bukan setakat seorang pemimpin yang vokal menyuarakan pandangannya,” tambahnya.

Jelas Tun Faisal, tindakan terhadapnya juga seolah-olah menghantar isyarat tidak mengapa untuk melanggar dasar parti tetapi jangan menyuarakan pandangan yang bertentangan dengan kepimpinan.

Majlis Kerja Tertinggi Umno yang bermesyuarat pada Sabtu, menjelang Perhimpunan Agung Umno 2020 pada Ahad, mengesahkan keputusan Lembaga Disiplin parti menggantung Tun Faisal selama enam tahun atau dua penggal pemilihan parti,  berkuat kuasa serta merta pada 27 Mac.

Lembaga Disiplin Umno sebelum itu mengeluarkan surat tunjuk sebab kepadanya pada 19 Februari atas dakwaan melanggar perlembagaan dan tataetika parti.

Menurut Tun Faisal, beliau terkejut dengan tempoh hukuman enam tahun itu dan percaya MKT Umno tidak meneliti hujah pembelaannya, sebaliknya hanya melihat laporan lembaga disiplin.

“Saya percaya lembaga disiplin terkhilaf kerana jika mereka betul-betul meneliti fakta dan merit kes, saya tidak akan dikenakan hukuman, apalagi sehingga enam tahun,” katanya.

Tun Faisal berkata dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Ketua Umno Bahagian Putrajaya Tengku Adnan Tengku Mansor, yang juga Ahli Parlimen Putrajaya.

“Yang buat aduan ketua bahagian saya sendiri. Saya telah menyatakan kepada lembaga disiplin, aduan ini ada masalah dari segi locus standi, merit dan motif.

“Ketua bahagian (Tengku Adnan) tak pernah panggil saya dan berbincang mengenai perkara ini,” katanya.

Tun Faisal juga berkata beliau akan mengemukakan rayuan dalam masa beberapa hari lagi.

Ditanya perancangannya jika rayuan ditolak, beliau berkata akan mencari pentas lain untuk meneruskan perjuangan yang menjadi pegangan politiknya selama ini.

Tun Faisal sebelum ini lantang mempersoalkan langkah Ahmad Zahid yang dikatakan membuat “penjajaran baharu” politik untuk bekerjasama dengan ketua pembangkang Anwar Ibrahim.

Annuar yang dipecat dari jawatan setiausaha agung Barisan Nasional pada awal Januari kemudian mendakwa surat sokongan Ahmad Zahid untuk Anwar jadi perdana menteri, yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, bukan surat palsu.

Beliau juga mendakwa ada pemimpin Umno yang berunding dengan PKR dan DAP untuk membentuk kerajaan baharu, menggantikan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Dalam ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Umno pada Ahad, Ahmad Zahid mencabar seorang menteri Umno dalam kabinet Muhyiddin yang disifatkannya sebagai “makhluk perosak” supaya letak jawatan “kalau jantan”.

Kenyataan Ahmad Zahid itu dipercayai ditujukan kepada Annuar, biarpun beliau tidak menyebut nama menteri itu secara langsung.

Dalam reaksi balasnya, Annuar berkata cabaran itu tidak wajar kerana ia hanya akan membuka ruang kepada orang lain juga nanti mencabar Ahmad Zahid letak jawatan presiden parti kerana berdepan kes jenayah di mahkamah.

Perhimpunan Agung Umno memberi mandat kepada Majlis Kerja Tertinggi bagi menentukan masa yang sesuai untuk menarik balik sokongan kepada kerajaan Muhyiddin.

Ia juga mengesahkan keputusan Umno untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum akan datang dan bertanding sendirian menggunakan lambang Barisan Nasional. – 30 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen