Hospital swasta mungkin dapat vaksin pada suku ketiga ke atas, kata Khairy


Ragananthini Vethasalam

Terdapat kekurangan vaksin di dunia, dan bekalannya sangat terhad, kata Khairy. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2021.

HOSPITAL swasta yang berharap untuk membeli vaksin Covid-19 dengan cepat untuk tujuan imunisasi mereka mungkin hanya akan mendapat bekalan pada suku ketiga dan keempat tahun ini kerana terdapat kekurangan di seluruh dunia pada masa ini, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata beliau mahu mengawal harapan hospital swasta mendapatkan bekalan vaksin mereka sendiri.

“Saya mahu kawal harapan. Marilah berdoa supaya orang kaya tak fikir mereka boleh bayar suntikan dan dapat dalam tempoh masa singkat.

“Terdapat kekurangan vaksin di dunia,” kata menteri sains, teknologi dan inovasi itu pada sidang media mingguannya mengenai program imunisasi.

“Walaupun kami sokong sektor swasta berusaha berbincang kontrak mereka, saya selalu bertanya kepada mereka, dari mana kamu bayangkan akan dapatkan vaksin ini. Bekalannya sangat terhad.

“Mereka tak mahu ambil kisah kata-kata saya, jadi saya akan biarkan mereka dapatkan sendiri, tetapi untuk jaga harapan rakyat Malaysia, saya boleh beritahu kamu (vaksin di) pasaran swasta tidak akan segera tersedia,” tambahnya.

Khairy telah menjadi sebahagian dari rundingan dengan pengeluar untuk mendapatkan vaksin Covid-19 bagi pihak kerajaan Malaysia.

Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) dan pengamal penjagaan kesihatan swasta telah berulang kali mendesak kerajaan membenarkan hospital swasta mendapatkan dan menguruskan vaksin sendiri.

Mereka telah menggesa Putrajaya mempertimbangkan untuk membenarkan program vaksinasi swasta bagi mereka yang mampu bagi mempercepat imunisasi penduduk.

Bagaimanapun, Khairy berkata beliau tetap terbuka untuk berbincang dengan pihak swasta mengenai perolehan vaksin Covid-19 mereka sendiri. – 29 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen