90% penerima vaksin Covid-19 fasa pertama terima dos pertama, kata menteri


Ragananthini Vethasalam

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata 90% daripada 500,175 penerima vaksin Covid-19 bagi fasa pertama program imunisasi sudah menerima dos pertama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2021.

KIRA-KIRA 90% daripada 500,175 penerima vaksin Covid-19 bagi fasa pertama program imunisasi sudah menerima dos pertama, kata Khairy Jamaluddin.

Pada 10 Mac, kerajaan menambah jumlah petugas bahagian hadapan, dikenal pasti sebagai penerima fasa pertama, daripada 500,175 kepada 647,398.

Khairy yang juga menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata kerajaan menyasarkan untuk memberi suntikan dos pertama kepada 647,398 individu dalam tempoh dua minggu ini.

Bercakap pada sidang media berkenaan program imunisasi itu, Khairy berkata 580,765 dis diberikan setakat semalam.

Daripada jumlah itu, 451,655 individu menerima dos pertama sementara 129,110 lagi sudah menerima dos mencukupi bagi vaksin koronavirus itu.

Sementara itu beliau berkata cadangan Perdana Menteri untuk menetapkan tarikh akhir pendaftaran vaksinasi masih dipertimbangkan.

“Pada masa ini, proposal sedang dipertimbangkan. Jika kami dapati cadangan itu dapat beri kesan positif kepada pendaftaran, kami akan membuat pengumuman kemudian,” kata Khairy.

Tarikh akhir pendaftaran bulan Jun diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin minggu lalu.

Bagaimanapun ia telah dikritik kerana tidak berlaku adil kepada orang miskin, penduduk luar bandar dan mereka yang tidak memiliki telefon pintar atau akses Internet, memandangkan pendaftaran digalakkan secara dalam talian.

Pada 28 Mac, 530,158 janji vaksinasi telah diberikan. Sementara itu, jumlah pendaftaran setakat ini adalah 7.23 juta. – 29 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen