Tiga kluster baharu dikesan hari ini


Ragananthini Vethasalam

Kluster Ladang Sungai Pelek di Sepang satu-satunya kluster berkaitan tempat kerja dilaporkan hari ini. Kluster ini melibatkan pekerja-pekerja ladang dan mencatatkan 32 kes. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mac, 2021.

KEMENTERIAN KESIHATAN hari ini melaporkan tiga kluster baharu Covid-19, dan dalam masa sama mengumumkan penamatan 14 kluster.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kluster aktif di negara ini kepada 381.

Kluster Ladang Sungai Pelek di Sepang, Selangor merupakan satu-satunya kluster berkait tempat kerja dilaporkan hari ini. Kluster ini melibatkan pekerja-pekerja ladang dan mencatatkan 32 kes.

Sementara itu, kluster Patek dengan 63 kes ditemui di Kelantan. Kluster ini disahkan sebagai jangkitan komuniti dan dikesan melalui pesakit indeks.

Kes melibatkan kluster ini ditemui di Kota Bharu dan Machang.

Kluster ketiga hari ini adalah Pagar Bukit Chagar yang melibatkan pusat tahanan di Johor Bahru. Sejumlah 52 kes dilaporkan dalam kluster ini selepas ujian saringan diadakan terhadap tahanan dan pekerja.

Dr Noor Hisham turut mengumumkan penamatan kluster-kluster ini - Jalan Desa Tropika, Jalan Selisik, Kejatau, Jalan Kepong, Jan Yong, Seruas, Jalan By Pass, Ladang Desa Jerocco, Jalan Seputeh, Jalan Raja, Menara Sri, Rakut, tapak pembinaan Jalan Sultan dan Jalan Jinjang. – 28 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen