Azmin-Mukhriz calon PM dan TPM Pakatan?


Amin Iskandar

Azmin Ali sudah melalui pengalaman panjang menggerakkan reformasi sejak 1998 selain mempunyai rekod baik selama menjadi menteri besar Selangor, kata Ketua Wanita PH Zuraida Kamaruddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Januari, 2018.

MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) wajar mempertimbangkan gandingan alternatif Mohamed Azmin Ali dan Mukhriz Mahathir sebagai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri dalam mesyuaratnya esok, kata pemimpin kanan gabungan pembangkang itu.

Ketua Wanita PH Zuraida Kamaruddin berkata dengan meletakkan Azmin dan Mukhriz sebagai calon pemimpin, gabungan pembangkang dapat “menyegarkan politik negara” dan mampu menarik minat golongan muda untuk mengundi mereka.

Zuraida yang juga Ketua Wanita PKR berkata Azmin sudah melalui pengalaman panjang menggerakkan reformasi sejak 1998 selain mempunyai rekod baik selama menjadi menteri besar Selangor.

“Kita tak nafikan peranan besar Dr Mahathir Mohamad dalam membangunkan negara, tetapi beliau lebih sesuai untuk menjadi menteri kanan seperti Lee Kuan Yew di Singapura,” kata Zuraida kepada The Malaysian Insight.

Trend dunia kini ialah anak-anak muda menang pilihan raya dan menjadi pemimpin negara, tambah Zuraida, sambil menyebut pemilihan Justin Trudeau, 46, sebagai perdana menteri Kanada dan Emmanuele Macron 40, sebagai presiden Perancis.

“Mereka memberikan kesegaran politik dan terbukti mereka diterima oleh rakyat,” kata ahli Parlimen Ampang itu.

Azmin dan Mukhriz kedua-duanya berumur 54 tahun.

Semalam bekas ahli Dewan Negara, Mohamad Ezam Mohd Nor mencadangkan PH menamakan Azmin dan Mukhriz sebagai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri agar dapat memecahkan kebuntuan kemelut bakal ketua kerajaan gabungan pembangkang itu, kalau menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Mukhriz Mahathir pula disebut sebagai gandingan ampuh kepada Azmin Ali menerajui kerajaan sekiranya Pakatan Harapan menang PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Januari, 2018.

Ezam turut mencadangkan pembentukan majlis penasihat atau “council of elders” yang dianggotai Dr Mahathir, Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan lain-lain.

Dalam permukiman yang diadakan PH akhir tahun lalu, Dr Mahathir dan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail dicadangkan sebagai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri sekiranya berjaya menang PRU14.

Bagaimanapun, cadangan itu tidak dapat diumumkan kerana PKR masih mahu membincangkan perkara itu pada peringkat parti, walaupun Bersatu, DAP dan Amanah menyokong tanpa bantahan.

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin minggu lalu berkata PH tidak ada pilihan kecuali menamakan bakal perdana menterinya sebelum PRU14 kerana rakyat mahu tahu apa pilihan yang ditawarkan oleh gabungan pembangkang itu untuk mengubah Malaysia.

Minggu lalu, The Malaysian Insight juga melaporkan PKR meletakkan tiga syarat sebelum bersetuju Dr Mahathir dijadikan calon perdana menteri PH.

Pengarah Merdeka Center Ibrahim Suffian berkata, sekiranya menamakan Azmin dan Mukhriz sebagai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri, PH akan mudah diterima golongan muda.

“Ini kerana golongan muda boleh mengaitkan diri mereka dengan Azmin dan Mukhriz.

“PH juga boleh menggunakan rekod pentadbiran Azmin dan Mukhriz sebagai menteri besar Selangor dan Kedah untuk memperlihatkan gambaran pentadbiran sekiranya berjaya mengambil alih negara,” katanya.

Sudah terlambat untuk PH namakan Azmin-Mukhriz

Bagaimanapun menurut Ibrahim, sudah terlambat untuk cadangan ini diketengahkan kerana majoriti parti PH sudah membuat keputusan.

Gandingan Dr Mahathir-Anwar-Wan Azizah walaupun tidak dinafikan kewibawaan dan kemampuan mereka tidak mencerminkan agenda perubahan pembangkang terutama dalam kalangan generasi muda yang mahu melihat perubahan kepimpinan negara. – Gambar  fail The Malaysian Insight, 3 Januari, 2018.

“Mana-mana muka baru yang diperkenalkan tidak mudah untuk menonjolkan diri mereka dan mengatur strategi baru dengan melibatkan parti politik lain untuk mengadakan pakatan pilihan raya.

“Tambahan pula PAS sudah membuat keputusan untuk bergerak sendiri dan ini akan memecahkan undi pembangkang sekaligus memberikan kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).

“Dalam keadaan ini, sekalipun menamakan calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri lebih muda, sukar bagi PH untuk memenangi PRU14,” katanya.

Sementara Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata, gandingan Azmin dan Mukhriz tidak akan memberikan impak yang besar di peringkat nasional.

“Walaupun gandingan ini memujuk pengundi muda dengan meletakkan harapan baharu dalam politik negara.

“Namun begitu, pada perspektif lainnya, gandingan ini belum mampu menggugat kuasa politik BN yang terasnya terletak pada Umno.

“Mudahnya, psikologi pengundi Melayu yang berada di kawasan pedalaman khususnya bagi kerusi yang ditandingi Umno, dua sosok ini tidak mampu menembusi segmen pengundi ini,” katanya.

Menurut Hisommudin, pada PRU13 lalu, Pakatan Rakyat yang diketuai Anwar berjaya mengatasi BN dari segi undi popular dengan meraih sokongan pengundi yang berada di bandar dan separa bandar, namun ianya belum cukup menewaskan Umno.

“Sekuat Anwar masih gagal, maka kombinasi dua tokoh muda ini masih belum mempunyai tarikan luar biasa untuk mengubah pola Melayu sekarang. Pada pengamatan kami sepanjang 2017, pengundi Melayu yang menjadi rebutan semua parti sekarang ini berjaya diraih oleh Dr Mahathir,” katanya.

Dr Mahathir berkata hari ini, calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri PH akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH esok. – 3 Januari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen