Malaysia akan kaji kandungan vaksin AstraZeneca, kata Khairy


Ragananthini Vethasalam

Majlis Ulama Indonesia mendakwa vaksin AstraZeneca haram digunakan oleh umat Islam kerana mengandungi bahan daripada babi. – Gambar EPA, 22 Mac 2021.

MALAYSIA akan mengkaji kandungan vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca, susulan Majlis Ulama Indonesia (MUI) mendakwa vaksin tersebut haram digunakan oleh umat Islam kerana mengandungi bahan daripada babi, kata Khairy Jamaluddin.

Bahan atau komponen dalam vaksin tersebut akan dikaji, dan kerajaan akan umum pendirian dalam masa terdekat, jelas menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada sidang media hari ini.

MUI pada Jumaat lalu dilaporkan berkata bahawa vaksin AstraZeneca haram kerana proses pembuatannya menggunakan “trypsin dari pankreas babi”.

Majlis itu bagaimanapun meluluskan vaksin AstraZeneca untuk digunakan memandangkan keadaan darurat pandemik Covid-19 ketika ini.

Dakwaan MUI itu disanggah Pengarah AstraZeneca Indonesia Rizman Abudaeri, berkata tiada bahan daripada babi atau haiwan lain digunakan dalam semua peringkat penghasilan vaksin tersebut.

“Pada semua tahap proses pengeluaran, vaksin vektor virus ini tidak menggunakan atau bersentuhan dengan produk yang berasal dari babi atau produk haiwan lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, jadual penghantaran vaksin yang dibangunkan syarikat Anglo-Sweden itu dijangka diketahui minggu depan, kata Khairy.

Syarikat itu sebelum ini memberitahu The Malaysian Insight, Malaysia dijangka menerima bekalan dos pertama vaksin AstraZeneca pada suku kedua 2021. – 22 Mac, 2021.  

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen