Asteroid besar lintasi bumi hari ini


Ahli astronomi berharap dapat memahami asteroid itu dengan lebih baik dan komposisinya dengan mengkaji cahaya yang dipantulkan pada permukaannya.– Gambar AFP, 21 Mac, 2021.

ASTEROID terbesar dijangka melintasi bumi hari ini, membolehkan ahli astronomi melihat objek tersebut dengan lebih jelas ketika subuh.

Lintasan asteroid yang diberi nama 2001 FO32 itu bagaimanapun tidak akan menyebabkan perlanggaran dengan bumi sama ada waktu ini atau abad akan datang, kata Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA).

Ia paling hampir berada sejauh 2 juta km dari bumi, iaitu bersamaan kira-kira 5.25 kali jarak bumi dari bulan.

Namun, 2001 FO32 masih diklasifikasikan sebagai ‘asteroid berpotensi berbahaya’, tambah agensi itu.

“Laluan orbit 2001 FO32 sekitar matahari diketahui sangat tepat,” kata Pengarah Center for Near Earth Object Studies Paul Chodas.

Menurut NASA, 2001 FO32 akan melintasi bumi pada kelajuan kira-kira 124,000 km sejam, lebih cepat berbanding kepantasan kebanyakan asteroid yang pernah melepasi bumi.

Ia dianggarkan berdiameter kira-kira 900 meter dan ditemui 20 tahun lalu.

Dengan jarak yang sangat dekat ini, ahli astronomi berharap dapat memahami asteroid itu dengan lebih baik dan komposisinya dengan mengkaji cahaya yang dipantulkan pada permukaannya.

“Mineral asteroid menyerap jarak gelombang sambil memantulkan yang lain apabila sinaran matahari menyentuh permukaannya,” kata NASA.

Agensi itu berkata, 2001 FO32 dijangka akan berada hampir dengan bumi sekali lagi pada tahun 2052. – AFP, 21 Mac, 2021


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen