Runding dengan PKR, DAP langgar ketetapan Umno, kata Ismail Sabri


TIADA pemimpin Umno yang akan berunding dengan PKR atau DAP kerana ia melanggar ketetapan parti, kata Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaacob.

Katanya, Umno tidak pernah mengubah ketetapan parti untuk tidak menjalin kerjasama politik baik dengan dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan DAP.

“Ya, prinsip no Anwar, no DAP ini masih dipegang sehingga hari ini.

“Kalau ada antara kita dalam Umno ini yang berunding dengan Anwar dan DAP, ia melanggar keputusan MT (Majlis Kerja Tertinggi Umno).

“Jadi saya percaya tidak ada yang akan berunding dengan Anwar,” katanya dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia.

Ismail berkata selain keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno, dalam mesyuarat pada 19 Februari lalu, Perhimpunan Agung Umno pada 2019 juga membuat keputusan tiada kerjasama dengan Anwar, PKR dan DAP.

“Malah berkali-kali dalam mesyuarat MT, itulah keputusan kita. Walaupun tiga empat kali, kita tetap bincang yang sama, no Anwar, no DAP,” katanya.

Ismail percaya Anwar hanya mahu memecah-belahkan Umno apabila menghebahkan kononnya ada perbincangan tidak rasmi antara PKR dan beberapa pemimpin Umno.

Menghebahkan sesuatu tetapi kemudian tiada satu pun yang betul dan tepat memang diketahui strategi Anwar selama ini, tambahnya.

“Anwar memang sentiasa keluarkan kenyataan tapi setakat hari ini, satu pun tak betul apa yang dia keluarkan,” katanya, merujuk contoh dakwaan ketua pembangkang itu ada sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan pada Oktober lalu.

“Dia akan umum dengan sangat yakin, tapi akhirnya tiada apa-apa.”

Minggu lalu, Anwar mengesahkan ada perbincangan antara PKR dan beberapa pemimpin Umno mengenai kemungkinan kerjasama politik.

Beliau bagaimanapun menjelaskan perbincangan itu masih pada peringkat awal dan membabitkan sokongan beberapa ahli Parlimen Umno untuk bekerjasama secara individu.

Perbincangan itu berlangsung ketika keabsahan majoriti Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat terus jadi pertikaian.

Sekurang-kurangnya sembilan ahli Parlimen pembangkang menolak perbincangan politik itu dan mengingatkan Anwar untuk tidak menjalin sebarang kerjasama politik dengan kleptokrat, yang ditentang oleh Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14. – 21 Mac, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen