25 maut dalam kemalangan di Congo


SEKURANG-kurangnya 25 orang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah trak besar dengan tiga kenderaan lain di sebatang jalan ke arah bandar Goma di Republik Demokratik Congo, semalam.

Kemalangan berlaku di laluan yang menjadi penghubung perdagangan makanan penting antara ibu negeri wilayah Kivu Utara, Goma ke wilayah Rutshuru serta bandar Butembo dan Beni.

“Sebuah lori membawa muatan barangan yang laju melanggar tiga kenderaan termasuk dua bas akibat kegagalan sistem brek.

“Buat masa ini ialah 25 orang maut di tempat kejadian,” kata Datuk Bandar Goma, Timothee Mwissa Kiense kepada AFP.

Tambah beliau, kemalangan berlaku pada awal petang di bahagian jalan yang curam, sambil menambah mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital.

Menurut data Suruhanjaya Keselamatan Jalan Raya negara itu, sebanyak 1,895 kemalangan jalan raya berlaku di Kivu Utara sahaja pada 2019, di mana 261 orang terbunuh. – AFP, 20 Mac, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen