Ahli Parlimen pembangkang jumpa Anwar di Parlimen Isnin ini


Ahli Parlimen pembangkang akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim Isnin ini bagi membincangkan pelbagai isu semasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mac, 2021.

AHLI Parlimen pembangkang akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim Isnin ini bagi membincangkan pelbagai isu semasa.

Pertemuan itu akan berlangsung di Parlimen, menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh pemimpin Pakatan Harapan, Anwar (PKR), Mohamad Sabu (Amanah) dan Lim Guan Eng (DAP) hari ini.

“Pertemuan akan membincangkan isu-isu semasa seperti program vaksinasi Covid-19, ekonomi dan juga isu-isu lain.

“Kita juga akan menekankan agar Parlimen bersidang semasa darurat,” kata pemimpin berkenaan dalam kenyataan itu. 

Pada hari sama, ahli Parlimen PH juga akan menghadiri taklimat di Parlimen mengenai program imunisasi Covid-19 oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Sementara itu pemimpin berkenaan juga berkata Majlis Presiden PH akan mengadakan pertemuan tertutup dengan perwakilan dari beberapa kedutaan asing pada 24 Mac.

PH juga mengumumkan pelantikan Chong Eng DAP sebagai pemimpin sayap wanita PH.

Anwar menerima kritikan daripada beberapa ahli Parlimen pembangkang atas pengakuannya mengadakan perbincangan dengan Umno berkenaan kemungkinan adanya kerjasama pada PRU15.

Mereka berkata PH tidak boleh bekerjasama dengan kleptokrat tetapi harus menguatkan diri bagi berdepan pilihan raya. – 18 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen