Undang-undang tentera dikuatkuasakan di 2 bandar di Myanmar


Seorang penunjuk perasaan yang cedera diangkat untuk dirawat ketika protes terhadan rampasan kuasa di bandar Hlaing Tharyar, luar Yangon semalam. – Gambar EPA, 15 Mac, 2021.

JUNTA Myanmar menguatkuasakan undang-undang tentera di dua bandar selepas 18 penunjuk perasaan terbunuh sejak rampasan kuasa pada 1 Februari lalu.

Media tempatan melaporkan pelaksanaan undang-undang itu membabitkan Hlaing Tharyar dan Shwepyitha yang terkenal sebagai hab kilang pakaian.

“Junta mengumumkan pentadbiran dan undang-undang tentera dan menurunkan kuasa kepada komander wilayah untuk menjaga keselamatan, kedaulatan undang-undang dan keamanan dengan lebih berkesan,” menurut laporan media berkenaan.

Di Hlaing Tharyar, polis dan tentera bertempur dengan penunjuk perasaan yang bersenjatakan kayu dan pisau.

Seorang doktor berkata penunjuk perasaan terpaksa menjadikan tong sampah sebagai perisai ketika pasukan keselamatan melepaskan tembakan.

“Saya mengesahkan 15 terbunuh. Kira-kira 50 lagi sedang menerima rawatan,” katanya.

Wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Myanmar mengutuk serangan itu dan menggesa masyarakat antarabangsa bersolidariti dengan rakyat Myanmar.

Christine Schraner Burgener dalam satu kenyataan berkata beliau mendengar berita keganasan, pembunuhan dan penganiayaan terhadap penunjuk perasaan di Myanmar. – AFP, 15 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen