Asteroid besar lintasi bumi pada 21 Mac, kata NASA


NASA mengesan asteroid, 2001 FO32 sejak 20 tahun lalu dan dianggarkan berdiameter 3,000 kaki. – Gambar EPA, 12 Mac, 2021.

ASTEROID terbesar bakal melintasi bumi tahun ini pada jarak sekitar 2 juta kilometer dari planet kita pada 21 Mac, kata NASA pada Khamis.

Agensi angkasa Amerika Syarikat (AS) berkata ia akan membolehkan ahli astronomi melihat secara dekat asteroid itu.

Asteroid, 2001 FO32, dianggarkan berdiameter 3,000 kaki dan ditemui 20 tahun yang lalu, kata NASA.

“Kami mengetahui laluan orbit 2001 FO32 di sekitar matahari dengan sangat tepat,” kata Paul Chodas, pengarah Pusat Kajian Objek Berhampiran Bumi. 

“Tidak mungkin asteroid menghampiri bumi lebih daripada 1,25 juta batu.”

Ia bersamaan kira-kira 5.25 kali jarak bumi dari bulan tetapi masih cukup dekat bagi 2001 FO32 untuk diklasifikasikan sebagai “asteroid yang berpotensi berbahaya.”

NASA berkata 2001 FO32 akan melintasi kira-kira 77,000 batu sejam lebih pantas berbanding kepantasan kebanyakan asteroid yang menghampiri bumi.

“Pada masa ini, hanya sedikit yang diketahui mengenai objek ini. Justeru, penemuan yang sangat hampir ini memberi peluang luar biasa untuk mempelajari banyak perkara mengenai asteroid ini,” kata Lance Benner, saintis utama di Makmal Perejangan Jet NASA.

NASA berkata ahli astronomi berharap dapat memperoleh pemahaman lebih baik mengenai ukuran asteroid dan idea kasar mengenai komposisinya dengan mengkaji  cahaya yang memantul pada permukaannya.

“Ketika sinar matahari menyentuh permukaan asteroid, mineral di dalam batu menyerap beberapa gelombang sambil memantulkan yang lain,” kata NASA. 

“Dengan mempelajari spektrum cahaya yang memantul dari permukaan, pakar astronomi dapat mengukur ‘cap jari’ kimia mineral di permukaan asteroid.”

Ahli astronomi amatur di beberapa bahagian dunia boleh melakukan pemerhatian mereka sendiri.

“Asteroid akan paling terang ketika bergerak melalui langit selatan,” kata Chodas.

“Ahli astronomi amatur di hemisfera selatan dan di lintang utara bawah sepatutnya dapat melihat asteroid ini menggunakan teleskop bersaiz sederhana dengan bukaan sekurang-kurangnya lapan inci pada malam menjelang lintasan terdekat, tetapi mereka mungkin memerlukan carta bintang untuk mencarinya.”

NASA berkata lebih 95% asteroid berhampiran bumi berukuran FO32 2001 atau lebih besar sudah dikatalogkan dan tiada yang berpeluang menjejaskan planet kita pada abad berikutnya. – AFP, 12 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen