Saksi ambil masa 3 jam sahkan lebih 400 dokumen berkaitan Yayasan Akalbudi


PEGAWAI Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengambil masa tiga jam bagi mengesahkan 406 dokumen berkaitan pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi Ahmad Zahid Hamidi berhubung dana Yayasan Akalbudi milik bekas timbalan perdana menteri itu.

Mohd Amirudin Nordin, 38, mengesahkan dokumen itu yang dikemukakan pihak pendakwaan pada perbicaraan kes Zahid di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah.

Dokumen yang disahkan itu antaranya cek, salinan cek, “demand draft”, surat, resit, borang dan slip deposit yang diperoleh daripada dua fail kertas milik Tetuan Lewis & Co yang merupakan pemegang amanah Yayasan  Akalbudi.

“Hasil siasatan, saya menerima dua fail kertas merah jambu yang bertulis Yayasan Al-Falah (milik keluarga Zahid) dan ‘Client’ (pelanggan). Selain itu, sebanyak 73 salinan cek daripada pelbagai bank disyaki digunakan Zahid bagi aktiviti pengubahan wang haram yang dikreditkan ke dalam akaun Maybank Lewis & Co,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffrey Ong.

Zahid didakwa atas 27 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram.

Bagi pertuduhan pertama hingga ke-25, Zahid didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi membabitkan hasil daripada aktiviti haram dengan memberi arahan untuk mendepositkan wang antara RM600,000 hingga RM9.35 juta ke dalam satu akaun dan “Akaun Pelaburan Am-i” sebagai Simpanan Tetap, melalui akaun Malayan Banking Berhad milik Tetuan Lewis & Co, Peguambela dan Peguamcara.

Beliau didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Malayan Banking Berhad, cawangan Dataran Maybank, Aras 1, Tower A, No. 1 Jalan Maarof, Bangsar dekat Kuala Lumpur antara 27 Mei 2016 hingga 11 April 2018.

Bagi pertuduhan ke-26, Zahid dituduh melakukan kesalahan sama iaitu dengan memberi arahan berhubung pembelian dua buah rumah banglo di Mukim Kajang, Daerah Hulu Langat bernilai RM5.9 juta, menggunakan cek Malayan Banking Berhad milik Tetuan Lewis & Co, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di tempat sama pada 9 Januari 2017.

Bagi pertuduhan ke-27, Zahid didakwa mengarahkan pengurup wang Omar Ali Abdullah untuk mengubah bagi pihak dirinya wang tunai berjumlah RM7,511,250.20 membabitkan 35 keping cek yang kemudian diserahkan kepada Lewis & Co untuk tujuan didepositkan sebagai Simpanan Tetap di Maybank yang merupakan hasil aktiviti haram.

Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di Marhaba Enterprise Sdn Bhd, LG 1.15, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, di Kuala Lumpur pada 29 Mac 2016 dan 15 Julai 2016. 

Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan bersambung esok. – Bernama, 9 Mac, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen