Putrajaya sedang pertimbang beli vaksin Novavax, kata menteri


Ragananthini Vethasalam

Putrajaya mungkin tidak meneruskan rundingan dengan Johnson & Johnson kerana syarikat itu hanya dapat memberikan vaksinnya pada suku keempat tahun ini. – Gambar EPA, 8 Mac, 2021.

PUTRAJAYA sedang mempertimbangkan calon vaksin Novavax yang mempunyai kadar keberkesanan 89.3% dalam portfolionya, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin hari ini.

Vaksin Covid-19 itu berasaskan protein yang dikenali sebagai NVX-CoV2373 dan dibangunkan oleh syarikat bioteknologi berpangkalan di AS, Novavax Inc.

Khairy juga mengumumkan Putrajaya mungkin tidak meneruskan rundingan dengan Johnson & Johnson kerana syarikat itu hanya dapat memberikan vaksinnya pada suku keempat tahun ini.

“Kami akan memutuskannya pada Khamis tetapi nampaknya kami mungkin terpaksa menggugurkannya kerana mereka hanya dapat memberikan 2 juta dos pada akhir tahun ini dan bagi kami ia agak terlalu lewat,” katanya dalam sidang media hari ini.

Oleh itu, beliau berkata terdapat kemungkinan besar kerajaan mungkin memilih meneruskan rundingan dengan CanSinoBIO yang berpangkalan di China bagi vaksinnya.

“Ini adalah vaksin satu dos dan merupakan pilihan lebih baik berbanding Johnson & Johnson yang hanya dapat menghantar vaksin pada suku keempat,” katanya.

Mengenai vaksin Pfizer-BioNTech, Khairy berkata Malaysia akan menerima kesemua 32 juta dos vaksin pada tahun ini.

Pertambahan dos itu adalah sebahagian dari perjanjian baru yang ditandatangani dengan Pfizer Inc.

Khairy menambah Malaysia juga akan menerima 100,000 dos vaksin daripada Sinovac keluaran China pada 15 Mac. – 8 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen