Peranti kesan jejak dipasang pada pesakit Covid-19 mulai 11 Mac, kata menteri


Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan berkata peranti pengesanan akan dipakaikan selama 10 hari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mac, 2021.

PESAKIT Covid-19, individu dalam siasatan (PUI) dan pesakit dalam pemantauan (PUS) akan diminta memakai alat pengesan elektronik untuk mengesan pergerakan mereka, kata Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan.

Peranti seperti dipakai oleh tahanan penjara dengan parol, akan dipasang pada individu yang dijangkiti atau disyaki Covid-19 selama 10 hari.

Ini adalah antara peruntukan baharu yang dibuat bagi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Takiyuddin dan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata dalam sidang media bersama hari ini, terdapat lima pindaan dan lima peruntukan baharu.

Peruntukan ini akan dikuatkuasakan pada 11 Mac.

“Ini adalah peruntukan baharu di bawah Seksyen 15 (a),” katanya.

“Menurut ordinan, hukuman akan dikenakan jika individu yang diminta memakai alat tersebut gagal melakukannya,” tambahnya.

Takiyuddin berkata alat pengesan itu sama seperti yang digunakan di penjara.

Adham berkata pesakit Covid-19 yang dirawat di pusat kuarantin berisiko rendah dan di rumah akan diminta memakai alat tersebut.

Selain itu, PUI yang disyaki dijangkiti virus juga akan diminta memakai alat tersebut.

Kontak rapat dan mereka yang ke zon merah turut dikelaskan sebagai PUI.

Mereka akan menjalani ujian calitan RTK-Antigen dan menunggu ujian kedua RT-PCR.

Kategori ketiga iaitu PUS, yang dikenal pasti sebagai kontak rapat, yang menjalani analisis risiko oleh Kementerian Kesihatan.

Adham berkata Majlis Keselamatan Negara akan memuktamadkan model peranti sebelum 11 Mac.

Pesakit akan diminta memakai alat ini selama 10 hari, tambah Adham. – 3 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen