Kes kematian Covid-19 melonjak di Sepanyol


Sepanyol turut menggiatkan kempen imunisasi – lebih 1.2 juta orang setakat ini menerima dua dos vaksin. – Gambar EPA, 2 Mac, 2021.

SEPANYOL merekodkan bulan kedua paling teruk kerana koronavirus dengan jumlah kematian pada Februari sebanyak 10,528 kes, angka tertinggi sejak April tahun lalu, kata pihak berkuasa.

Jumlah keseluruhan kematian ialah 69,609, menurut data kementerian kesihatan.

Walaupun kemuncak gelombang ketiga Sepanyol sudah berlalu – jumlah kes kumulatif 14 hari menurun daripada hampir 900 kes bagi 100,000 penduduk pada hujung Januari kepada 175 pada masa ini – jumlah kematian masih kekal tinggi.

April lalu, ketika kemuncak gelombak pertama, sejumlah 16,354 kematian direkodkan akibat jangkitan Covid-19.

Seperti di kebanyakan negara lain, jumlah sebenar kematian mungkin lebih tinggi berbanding angka rasmi susulan ramai yang meninggal dunia pada musim bunga lalu tanpa menjalani ujian diagnostik ketika sistem kesihatan negara itu terlalu terbeban dengan lambakan kes.

Dengan jangkitan menular dengan panas di seluruh Eropah, banyak negara terpaksa berdepan perintah berkurung kali kedua dan ketiga, tetapi Sepanyol setakat ini bertahan untuk tidak mengenakan semula perintah berkurung di seluruh negara.

Selepas jangkitan melonjak selepas cuti Krismas, kebanyakan negara mengenakan kembali sekatan dengan orang ramai dicegah berada di tempat awam.

Kerajaan bertegas mengatakan langkah itu cukup untuk mengawal penularan wabak.

Seperti negara lain di Eropah, Sepanyol turut menggiatkan kempen imunisasi – lebih 1.2 juta orang setakat ini menerima dua dos vaksin. – AFP, 2 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen