Trump ambil suntikan vaksin Covid-19 sebelum keluar White House


Bekas presiden AS Donald Trump dan isterinya, Melania sudah mengambol suntikan vaksin Covid-19 pada Januari, sebelum meninggalkan White House. – Gambar EPA, 2 Mac, 2021.

BEKAS presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan isterinya, Melania sudah mengambol suntikan vaksin Covid-19 pada Januari, sebelum meninggalkan White House, kata penasihatnya semalam.

Bagaimanapun, penasihatnya tidak memberikan sebarang maklumat lanjut berhubung kenyataannya itu.

Joe Biden yang mengambil alih kerusi presiden AS pada 20 Januari lalu menerima suntikan vaksin Covid-19 secara terbuka pada 21 Disember lalu.

Bagaimanapun, Trump tidak pernah mendedahkan beliau sudah diimunisasi sebelum ini.

Trump dalam ucapan pertamanya selepas meninggalkan White House pada Ahad, berkata semua rakyat perlu divaksinasi bagi memerangi penularan Covid-19 yang meragut lebih 500,000 nyawa di seluruh AS.

Sebilangan penyokong Trump menyuarakan keraguan mengenai saranan kerajaan supaya rakyat mengambil vaksin.

Trump disahkan positif Covid-19 pada awal Oktober lalu dan dimasukkan ke hospital selama beberapa hari di pinggir Washington.

Trump turut mencetuskan pelbagai kontroversi dan menerima pelbagai kritikan serta laporan buruk media kerana didakwa gagal menguruskan pandemik Covid-19 di AS. – AFP, 2 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen