Tunang Khashoggi desak putera Arab Saudi dihukum


Hatice Cengiz, tunang kepada wartawan Arab Saudi Jamal Khashoggi yang dibunuh pada 2018 desak Putera Mahkota Arab Saudi dihukum. – Gambar EPA, 2 Mac, 2021.

TUNANG wartawan yang dibunuh Jamal Khashoggi dan wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendesak Washington menghukum Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman atas pembunuhan itu.

Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat mendedahkan laporan yang menuduh putera mahkota itu membenarkan pembunuhan Khashoggi di konsulat Arab Saudi di Instanbul pada 2018.

Tetapi AS tidak membuat permohonan hukuman terhadap pemimpin de facto Arab Saudi berusia 35 tahun itu, yang turut dikenali sebagai MBS.

“Amat penting untuk putera mahkota yang mengarahkan pembunuhan kejam terhadap individu yang tidak bersalah, seharusnya dihukum tanpa lengah lagi,” kata tunang Khashoggi, Hatice Cengiz yang juga warganegara Turki, dalam satu kenyataan dimuat naik di Twitter.

“Ini bukan saja memberi keadilan untuk Jamal, tetapi ia juga dapat mencegah kejadian sama berulang lagi pada masa depan.”

Khashoggi, seorang penduduk AS dan pengkritik putera mahkota yang menulis untuk The Washington Post, dibunuh dan mayatnya dikerat-kerat di konsultan Arab Saudi di Istanbul selepas beliau ke sana untuk menguruskan dokumen perkahwinannya dnegan Cengiz. – AFP, 2 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen