Warisan teliti tindakan undang-undang terhadap Adun Sebatik, kata presiden


Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal berkata sebelum PRN Sabah pada September lalu Adun Sebatik Hassan A Gani Pg Amir telah berikrar setia kepada parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mac, 2021.

PARTI Warisan Sabah (Warisan) akan meneliti tindakan undang-undang terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sebatik Hassan A Gani Pg Amir yang mengumumkan keluar parti pada Khamis lepas.

Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal berkata Hassan sebelum ini telah berikrar setia kepada parti sebelum Pilihan Raya Negeri pada September tahun lepas.

“Belum terima (surat berhubung perkara itu) namun ada surat yang beliau tandatangan dan berikrar untuk setia kepada parti di hadapan peguam kita secara sukarela. Ketika beliau keluar, beliau masih ahli Warisan namun kami akan memastikannya dari segi tafsiran perundangan, kita lihat bagaimana nanti,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu hari ini.

Bekas ketua menteri Sabah itu berkata Warisan akan mendapatkan nasihat peguam untuk tindakan seterusnya terhadap Hassan yang telah menandatangani perjanjian untuk setia bersama Warisan di hadapan peguam parti tersebut.

Khamis lepas, Hassan A Gani mengumumkan keluar dari Warisan dan kini menjadi Adun Bebas selain menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah serta kepemimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin serta Ketua Menteri Hajiji Noor. – Bernama, 1 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen