Malaysia tidak boleh terlalu bergantung pada FDI, kata Dr Mahathir


Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia perlu kuasai teknologi dan menyasarkan pengeluaran industri untuk pasaran dunia seperti dilakukan negara-negara Asia lain seperti China, Jepun dan Korea Selatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mac, 2021.

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berpendapat Malaysia tidak boleh terlalu bergantung kepada pelaburan langsung asing (FDI) jika mahu mencapai status negara maju.

Beliau berkata Malaysia perlu menguasai teknologi dan menyasarkan pengeluaran industri untuk pasaran dunia seperti dilakukan negara-negara Asia lain seperti China, Jepun dan Korea Selatan.

“Kita (Malaysia) bergantung kepada pelabur asing, (mereka) bina kilang dan ia bukan milik kita (Malaysia). Keuntungan semua dibawa balik dan kita (Malaysia) tidak mendapat teknologi sepenuhnya,” katanya pada program Minda Profesor Negara anjuran Majlis Profesor Negara (MPN), di Kuala Lumpur, hari ini.

Program bertajuk “Masa Depan Malaysia: Ke Mana Kita?” itu disiarkan di laman sosial Facebook MPN.

Dr Mahathir berkata, negara seperti Korea Selatan kini menjadi pengeluar kapal terbesar dunia selepas menyedari terdapat permintaan untuk pasaran dunia bagi industri itu.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MPN Profesor Dr Raduan Che Rose berkata berdasarkan kajian yang dilakukannya mengenai pemindahan teknologi oleh syarikat multinasional di negara ini, beliau mendapati Malaysia lebih digunakan sebagai negara pengeluaran.

“Semua urusan penyelidikan, strategik kekal di negara masing-masing. Silapnya mungkin di peringkat awal dahulu kita terdesak untuk mencipta peluang pekerjaan di peringkat manual,” katanya. – Bernama, 1 Mac, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen