7 kluster baharu Covid-19 dikesan


Ragananthini Vethasalam

Kluster Jalan Cempedak di Kepong, Kuala Lumpur dikesan di rumah jagaan orang tua yang melibatkan kumpulan berisiko tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mac, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan tujuh kluster baharu Covid-19, yang satu daripadanya dikaitkan dengan rumah jagaan orang tua.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata terdapat 10 kluster tamat hari ini.

Justeru, jumlah kluster aktif negara ketika ini sebanyak 488.

Kluster Jalan Cempedak di Kepong, Kuala Lumpur menyaksikan 10 kes. Ia dikesan di rumah jagaan orang tua yang melibatkan kumpulan berisiko tinggi.

Sementara itu, kluster Bukit Marak di Kelantan melaporkan 66 kes. Ia kluster yang dikategorikan sebagai penularan komuniti, dikesan di daerah Bachok dan Kota Bahru.

Baki lima kluster pula berkaitan tempat kerja.

Ketiga-tiga kluster di Johor dikaitkan dengan kilang. Kluster Kempas Tiga melaporkan paling banyak kes dengan 344 jangkitan manakala Sungai Burong dan Jalan Wawasan 12 sebanyak 22 dan tujuh kes.

Dua kluster lain dikesan di Selangor, melibatkan kedai.

Kluster Desa Empat yang dikesan di sebuah pusat beli-belah di Sungai Buloh menyaksikan 18 kes, manakala sebuah pasar raya di Kuang adalah pusat kluster Jalan Melati yang melaporkan tujuh kes.

Noor Hisham juga berkata kluster Pasir Barat, Sri Suria, Nilam Tiga, Persiaran Sabak, Tembok Kemus, Intan Delima, Pengerang Utara, Sungai Purun, Lapangan Siber dan Bedayan berakhir selepas tempoh pemantauan. – 1 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen