Muhyiddin dilihat tergugat di Pagoh, kata Chin Tong 


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dilihat semakin hilang populariti dan gabungan partinya juga semakin lemah.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Februari, 2021.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin mungkin hilang kerusi Parlimen sekiranya saingan semakin sengit pada pilihan raya umum akan datang, kata pakar strategi DAP Liew Chin Tong kepada Malay Mail.

Beliau berdepan bahaya kerana sebahagian besar penyokongnya adalah pengundi bukan Melayu pada PRU14, beliau hilang populariti dan gabungan partinya semakin lemah, Liew dilaporkan sebagai berkata.

Pengerusi DAP Johor itu berkata beliau sangat mengenali kawasan Parlimen Muhyiddin, dan menambah mereka bekerjasama pada 2018 untuk memenangi negeri selatan yang suatu ketika dulu pernah menjadi kubu kuat Umno.

“Beliau memenangi separuh daripada undi Melayu dan mendapat sokongan bukan Melayu yang tinggi pada pilihan raya lalu, namun demikian, walaupun di kerusi sendiri beliau masih berdepan bahaya,” kata Liew.

Ahli Parlimen Pagoh memegang kerusi itu sejak 1995. Pada 2018 beliau berdepan dua pencabar dan mendapat 23,558 (45.7%) daripada 43,667 (84.8%) undi.

Kerusi itu mempunyai 65% pengundi Melayu dn 36% pengundi bukan Melayu.

“Saya rasa ia merupakan kerusi yang sangat bahaya untuknya,” beliau dipetik sebagai berkata.

Liew juga percaya populariti Muhyiddin mula merudum.

“Saya tidak rasa Muhyiddin akan jadi sangat popular dalam masa tiga bulan atau pada setengah tahun pertama.

“Sukar untuknya berpatah balik dalam tempoh yang singkat, walaupun sehingga Ogos.

“Walaupun beliau masih popular seperti pada Jun 2020, tidak bagi partinya dan ianya tidak akan jadi begitu,” katanya.

Liew merujuk kepada pemerhatiannya pada tanggapan awam terhadap inisiatif penyandang kerusi Pagoh itu, termasuk ketidakpuasan hati rakyat terhadap cara kerajaan menguruskan pandemik Covid-19.

Liew turut meragui Muhyiddin akan dapat mengurangkan secara drastik jumlah kes empat digit menjelang berakhrnya printah darurat pada 1 Ogos.

Bersatu juga tidak mampu bertahan hanya dengan sokongan PAS, dengan Umno menunjukkan ia akan menjauhi Perikatan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.

Bulan lalu, Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub dan Ahli Parlimen Padang Rengas menarik baik sokongan mereka terhadap Muhyiddin.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata 118 daripada 190 bahagian yang ditemui pada awal Januari lalu membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15. – 28 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen