Setahun Perikatan: Masa hadapan belum jelas


Ragananthini Vethasalam

Bantuan tunai menerusi lima pakej bantuan Covid-19 diagihkan kepada rakyat bagi meringankan beban akibat pandemik.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Februari, 2021.

WALAUPUN Putrajaya telah melaksanakan beberapa dasar dan langkah ekonomi yang kukuh dalam setahun yang lalu, langkah untuk ke hadapan masih belum jelas, kata ahli ekonomi mengenai setahun Perikatan Nasional berkuasa.

Ulang tahun pertama rampasan kuasa Parlimen yang menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan yang dipilih pada 2018 adalah pada minggu hadapan, berikutan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah pada 1 Mac tahun lalu.

PN mengambil alih kuasa ketika Malaysia sedang menghadapi tiga ancaman krisis iaitu kesihatan, politik dan ekonomi, kata para ahli ekonomi.

Selang dua minggu setelah membentuk kerajaan, Muhyiddin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara untuk mengekang penyebaran jangkitan Covid-19. PKP juga bermaksud banyak aktiviti ekonomi dihentikan.

Hasilnya, Malaysia mencatat penguncupan 17.1% dalam keluaran dalam negara kasar (KDNK) untuk suku kedua 2020, prestasi terburuk sejak Krisis Kewangan Asia pada 1997 dan 1998.

Untuk mengatasi kesan Covid-19, kerajaan membentangkan beberapa pakej rangsangan ekonomi yang secara keseluruhan berjumlah lebih dari RM300 bilion.

Profesor Ekonomi Sekolah Perniagaan Universiti Sunway Dr Yeah Kim Leng berkata beberapa langkah berkesan dan telah menghindarkan ekonomi daripada mencatat penguncupan yang lebih dalam yang akan melebihi kemerosotan yang disebabkan oleh Krisis Kewangan Asia pada 1998 ketika ekonomi menyusut sebanyak 7.4%.

KDNK Malaysia menguncup sebanyak 5.6% untuk tahun penuh 2020.

Yeah berkata penguncupan 5.6% sedikit lebih rendah daripada jangkaan -4.5% hingga -5.5% yang dijangkakan.

“Ia jauh lebih buruk daripada kemelesetan 2009 semasa krisis kewangan global tetapi lebih baik daripada kemelesetan tahun 1998 semasa Krisis Kewangan Asia. Penguncupan akan menjadi paling buruk sekiranya bukan kerana langkah-langkah dasar fiskal dan monetari yang kuat yang dibuat kerajaan,” kata bekas anggota luar Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia kepada The Malaysian Insight.

Lima pakej bantuan Covid-19 pada 2020 berjumlah sekitar 20% daripada KDNK dengan suntikan fiskal langsung yang dianggarkan sekitar 4% hingga 5% daripada KDNK.

“Bantuan tunai untuk isi rumah dan perniagaan kecil yang terkesan, rebat cukai dan pelepasan utiliti, subsidi upah, moratorium pinjaman dan skema jaminan telah membantu meringankan kesulitan ekonomi yang meluas terutama yang dirasakan oleh sektor yang terjejas teruk terutamanya pelancongan, hotel, restoran, hiburan, sektor hospitaliti dan runcit,” tambah Yeah.

Sebagai tambahan, program subsidi gaji dan tuntutan Sistem Insurans Pekerjaan telah membantu mengurangkan pengangguran yang meningkat dan tekanan ekonomi serta sosial.

Ketua Penyelidik Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia Dr Shankaran Nambiar bersetuju program subsidi gaji adalah dasar yang berguna.

Beliau turut memuji kerajaan memperhatikan keperluan kelompok Bawah 40 dan perusahaan kecil dan sederhana.

Beliau berkata kerajaan nampaknya telah mencapai keseimbangan yang tepat antara menjaga ekonomi berjalan sambil melindungi nyawa, selain menambah lebih banyak yang dapat dilakukan jika ruang fiskal tidak terbatas.

“Situasi semasa menuntut kerajaan untuk menanggapi krisis Covid-19 dengan tepat. Ini telah menuntut kerajaan untuk membendung penyebaran penyakit ini, memastikan rawatan mencukupi diberikan di hospital dan meratakan lengkuk kes Covid-19,” katanya.

Dari segi ekonomi, kerajaan ada tugas memastikan penurunan dapat diminimumkan.

“Kerajaan juga harus bersedia untuk pemulihan pasca-Covid-19,” tambahnya, sambil berkata banyak negara lain, mempunyai langkah-langkah ketat yang diikuti oleh kekangan yang lebih longgar dalam menghadapi krisis pandemik.

Bagaimanapun, Nambiar berkata masih belum ada rancangan strategik yang jelas untuk memulihkan ekonomi dari keadaan sekarang. Pelan yang jelas sangat penting untuk tahap pemulihan seterusnya, tambahnya.

“Beberapa masalah dasar yang melanda ekonomi meningkat disebabkan krisis Covid-19. Masih belum jelas apakah kerajaan telah belajar dari masalah ini, penggunaan tenaga kerja pekerja asing tidak mahir adalah salah satu contoh,” katanya.

Yeah berkata strategi pemulihan dan pembangunan semula ekonomi memerlukan penjelasan yang lebih besar kerana Putrajaya telah menunjukkan strategi itu akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-12.

“Namun demikian, ini tidak seharusnya menghalang kerajaan untuk merumuskan rancangan sektoral ‘bina-ke hadapan-lebih baik’ yang lebih komprehensif terutama untuk sektor-sektor yang terkena kesan buruk wabak seperti industri penerbangan, pelancongan, hotel dan peruncitan.”

Membangun kembali keyakinan pelabur dan pengguna juga akan menjadi cabaran, dan Yeah menyatakan ini telah dihambat oleh tiga krisis iaitu kesihatan, politik dalam ekonomi.

“Walaupun deklarasi darurat telah mengelakkan krisis politik, diperhatikan tiga kali kejutan kesihatan awam, ekonomi dan politik tidak membantu kepercayaan pengguna dan pelabur.

“Untungnya, ekonomi yang beragam memperoleh keuntungan dari kenaikan global waktu ini dalam permintaan komoditi dan harga,” katanya. – 28 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen