Sinar Harian sedia anjur program pertemukan Maszlee, Asyraf


Maszlee Malik menuntut permohonan maaf secara terbuka dan pampasan daripada Asyraf Wajdi Dusuki kerana mendakwa PH memanipulasi dan mengagungkan komunis dalam buku teks Sejarah Tingkatan 4. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Februari, 2021.

PERTEMUAN secara bersemuka antara bekas menteri pendidikan Maszlee Malik dengan Ketua Pemuda Umno Ashraf Wajdi Dusuki dijangka dapat menyelesaikan pertikaian isu buku teks Sejarah Tingkatan 4 yang didakwa mengagungkan komunis.

Justeru, Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Rozaid Abdul Rahman berkata pihaknya bersedia menganjurkan program “Berani Semuka” untuk menemukan kedua-duanya itu, seperti disiarkan di portal beritanya semalam. 

“Sinar Harian berharap agar kedua-dua panel dapat menggunakan platform ini bagi mengupas dan menjawab kemelut ini.

“Kita percaya program ini akan berlangsung secara adil dan penuh adab tanpa mengaibkan mana-mana pihak, sekaligus menjawab polemik yang timbul beberapa hari ini,” katanya.

Semalam, Maszlee menuntut permohonan maaf secara terbuka dan pampasan daripada Asyraf Wajdi kerana mendakwa komunis dimuliakan sebagai pejuang kemerdekaan di dalam buku teks Sejarah itu dan menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah sebelum ini.

Ia susulan catatan Asyraf Wajdi di Facebook pada Rabu yang mendakwa buku itu mengandungi aspek mengagungkan komunis dan seolah-olah usaha terancang dan sengaja dilakukan PH.

“Perkara ini semacam satu usaha terancang dan sengaja dilakukan ketika 22 bulan PH memerintah bagi menanamkan benih ideologi ‘Malaysian Malaysia’ dan secara halus menyuci pemikiran pelajar fahaman sosialis dan komunis tidaklah buruk malah diangkat sebagai antara ideologi yang memperjuangkan kemerdekaan,” katanya.

Menurutnya kerajaan sekarang perlu menarik semula buku teks Sejarah Tingkatan 4 dan memperbetulkan fakta yang dimanipulasi mengenai sejarah negara ini. – 27 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen