MyCC kenakan denda RM10.3 juta terhadap Dagang Net


SURUHANJAYA Persaingan Malaysia (MyCC) mengenakan denda sebanyak RM10.3 juta terhadap Dagang Net Technologies Sdn Bhd kerana menyalahgunakan kedudukan dominannya melalui perjanjian secara eksklusif.

MyCC dalam kenyataan hari ini memaklumkan siasatan mendapati Dagang Net melanggar Seksyen 10 (1) Akta Persaingan 2010 setelah mengenakan klausa eksklusif dalam urus niaga dengan pembekal perisian National Single Window (NSW) dari Oktober 2015 hingga November 2017.

“Perlakuan antipersaingan Dagang Net mengganggu persaingan dalam pasaran kerana menghalang perusahaan lain daripada menyediakan perkhidmatan serupa kepada pengguna akhir dalam sistem uCustoms yang sedang dibangunkan,” menurut kenyataan itu.

Dagang Net, anak syarikat Dagang NeXchange Berhad merupakan penyedia perkhidmatan tunggal dalam penyediaan perkhidmatan fasilitasi perdagangan dalam talian bagi Sistem Maklumat Kastam di bawah NSW.

NSW adalah ekosistem berasaskan elektronik yang membolehkan dokumen dan transaksi yang berkaitan dengan urusan perkastaman dipindahkan secara elektronik antara komuniti perdagangan dan pihak pengawal selia di Malaysia melalui titik masuk tunggal.

MyCC memutuskan pengenaan klausa eksklusif merupakan penyalahgunaan kedudukan dominan Dagang Net di pasaran yang relevan, mengganggu atau menyekat persaingan dalam kalangan pesaing untuk memasuki pasaran uCustoms.

Menurut MyCC, Dagang Net turut diarahkan untuk menghentikan penglibatannya dalam perjanjian eksklusif pada masa hadapan yang boleh menghalang persaingan dalam penyediaan perkhidmatan fasilitasi perdagangan.

“MyCC juga mengarahkan agar pengarah-pengarah dan pihak pengurusan Dagang Net untuk mengikuti latihan pematuhan undang-undang persaingan atas kos mereka sendiri,” jelas kenyataan itu.

Sementara itu, Pengerusi MyCC Mohd Hishamudin Yunus menegaskan pemberian konsesi adalah di bawah bidang kuasa kerajaan.

“Walaupun perkara ini boleh mengakibatkan kewujudan monopoli secara langsung atau tidak langsung, MyCC tidak akan sesekali bertoleransi sekiranya monopoli tersebut menyalahgunakan kedudukan dominannya melalui perlakuan antipersaingan,” katanya.

Beliau memberi amaran MyCC akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana monopoli yang mensabotaj ekonomi Malaysia.

Keputusan bagi kes ini akan dipaparkan untuk tatapan umum melalui laman web www.mycc.gov.my. – Bernama, 26 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen