7 daripada 8 kluster baharu Covid-19 berkait tempat kerja


Malaysia hari ini melaporkan 3,544 kes hari ini yang mana 1,392 kes dilaporkan di Negeri Sembilan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 24 Februari, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan mengenal pasti lapan kluster baharu Covid-19 hari ini yang mana tujuh daripadanya berkait dengan tempat kerja, kata Dr Noor Hisham Abdullah. 

Ketua pengarah kesihatan berkata tiga daripada kluster tempat kerja yang dikesan hari ini dilaporkan di Johor, dua di Pulau Pinang dan satu masing-masing di Selangor dan Perak. 

Kluster lain yang dilaporkan hari ini dikesan di Sabah, daripada penularan komuniti. 

Enam kluster tempat kerja dikesan di kilang, dan satu di pasar. 

Noor Hisham berkata 213 kes dilaporkan dalam lapan kluster baharu itu, yang mana kluster tempat kerja sendiri menyumbang 195 kes. 

Kluster Lorong Bakau dilaporkan di sebuah kilang di Pulau Pinang menyumbang 50 kes—tertinggi daripada kluster yang dilaporkan hari ini.

Kluster yang melaporkan kes kedua tertinggi juga dari kilang di Pulau Pinang—kluster Vista Hilir yang melaporkan 35 kes. 

Selain itu tiga kluster di Johor melaporkan 70 kes. 

Kluster Jalan Ulu Choh di kesan di sebuah kilang di Pontian me;aporkan 34 kes, manakala kluster Perindustrian Lukut yang dikesan dalam kalangan pekerja kilang di Kota Tinggi melaporkan 28 kes.

Kluster Jalan Dato Yunus merupakan kluster terakhir dikesan di Johor melibatkan kilang di Johor Bahru. 

Setakat ini, lapan kes dilaporkan di sini. 

Kluster Pasar Bidor dilaporkan di Perak melibatkan pekerja di pasar Bidor di Batang Padang. 

25 kes dilaporkan dalam kluster ini. 

Kluster tempat kerja terakhir dilaporkan hari ini adalah kluster Jalan Enam di Petaling, Selangor yang mana 15 kes dilaporkan. 

Satu-satunya kluster komuniti adalah Sinsingon yang dikesan di Nabawan, Sabah melibatkan upacara pengkebumian.  

Setakat hari ini, 18 kes koronavirus dilaporkan dalam kluster ini. 

Lapan kluster baharu Covid-19 menjadikan jumlah kluster di negara ini 1,103 yang mana 509 masih aktif.

Daripada kluster aktif, 78 daripadanya masih melaporkan kes baharu.

Kluster yang melaporkan kes tertinggi adalah Industri Sungai Gadut dengan 1,338 kes, tapak pembinaan Jalan Segambut (174 kes) dan Jalan Pelabuhan (164 kes).

Noor Hisham berkata kluster Industri Sungai Gadut  – kluster tempat kerja melibatkan daerah di Seremban, Rembau dan Tampin – merupakan punca peningkatan kes hari ini.

Malaysia hari ini melaporkan 3,544 kes hari ini yang mana Negeri Sembilan menyumbang 1,392 kes. 

Selain itu, Noor Hisham berkata lapan kluster ditamatkan hari ini menjadikan jumlah kluster keseluruhan 594.– 24 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen