Betulkah buku teks Sejarah Tingkatan Empat KSSM dipengaruhi DAP?


BEBERAPA orang ‘tagged’ dan bertanya saya, katanya silibus baharu Sejarah Tingkatan Empat Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) sudah diherot dan diseleweng oleh kerajaan lama yang ada DAP di dalamnya. Hinggakan, dikatakan, ada seorang sejarawan terkenal akan menggerakkan usaha mendedahkan kebobrokannya.

Maka saya pun mengambil usaha untuk menyelidiki bukunya dan bertanya dengan beberapa orang akademia senior bidang sejarah.

Di sini saya jelaskan beberapa penafian terhadap tuduhan membabi buta tersebut:

Jawatankuasa Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah adalah para sarjana Sejarah, Tamadun, Sains Politik dan Undang-undang berasal dari Malaysia, bukan dari Republik Rakyat China. Mereka ini bukan tiba-tiba muncul dari entah mana pada tahun 2018-2019, tetapi para ahli akademik yang tersohor dalam bidang masing-masing sejak sekian lama.

Para pakar ini adalah Prof. Kamaruzaman Yusoff (UTM); Prof. Emeritus Abdullah Zakaria Ghazali dan Dr. Ho Hui Ling(UM); Prof. Sivamurugan Pandian (USM); Prof. Madya Shamrahayu Aziz (UIAM); Prof. Madya Rohani Abd Ghani (UKM) dan Prof. Madya Bilcher Bala (UMS).

Mereka ini semua ahli akademik yang bermaruah. Bukan wira papan kekunci keji seperti ramai para pemfitnah tersebut.

Siapa yang tidak kenal kritisnya PM Shamrahayu terhadap kerajaan PH sebelum ini? Atau betapa dalamnya kajian Prof. Emeritus Abdullah Zakaria, atau juga kepakaran Dr. Ho Hui Ling dalam mendedahkan keganasan komunis di Malaya?

Ya, kalau orang bodoh sombong barangkali tak tahu.

Tidak ada satu topik pun dalam buku teks tersebut yang mengiktiraf PKM sebagai pejuang kemerdekaan. Bab Enamnya berjudul “Ancaman Komunis dan Perisyhtiharan Darurat”. Faham maksud ANCAMAN? Atau dalam otak dangkal kalian memahaminya sebagai SUMBANGAN?

Keseluruhan 20 halaman tentang komunis dalam buku teks tersebut menjelaskan perihal keganasan komunis yang menjahamkan sosioekonomi dan hubungan kaum di Malaysia. Tidak ada satu pun kata-kata pujian terhadap gerakan komunis.

Tidak ada satu pun perkataan DAP dalam 254 halaman buku teks tersebut. Silibusnya sendiri berakhir sekitar tahun 1960, sebelum tertubuhnya DAP itu sendiri. Jadi ratib dan zikir takut DAP di dalamnya adalah mengarut sama sekali dan hanyalah motivasi politik.

Hiduplah secara bebas dan merdeka. Jangan biarkan diri anda diselubungi misteri DAP.

Nasihat saya kepada para fanatik politik dan pengguna kepala lutut, ambillah masa untuk menyiasat sesuatu berita. Jangan jadi seperti lembu ternak yang bisa dicucuk hidung, dipepah, dan ditarik ke sana ke mari sewenang-wenangnya. Hidup ini lebih indah jika akal digunakan secara waras. – 24 Februari, 2021.


* Sahul HM, pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • menarik

    Dimuat naik 2 tahun yang lalu oleh YUSRY SULAIMAN · Ulasan