Dr Mahathir, Kit Siang perlu beri laluan kepada orang muda, kata aktivis


Ahli politik veteran seperti Dr Mahathir dan Lim Kit Siang dari DAP tidak sewajarnya terus memegang kuasa, kata Penasihat Suaram Dr Kua Kia Soong hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2017.

AKTIVIS politik, Dr Kua Kia Soong hari ini mempersoalkan ketulusan meminta maaf Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Dr Mahathir Mohamad dan menggesa bekas perdana menteri itu membuka jalan kepada ahli politik yang lebih muda.

Penasihat Suaram itu berkata, keputusan PH memilih Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri interim sebenarnya mendedahkan kepincangan gabungan pembangkang untuk berdepan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Adakah ini yang dimaksudkan PH sebagai ‘keberanian untuk berubah” demi negara?

“Saya telah banyak menulis tentang kesilapan politik PH dan beban politik masa silam Dr Mahathir yang mana permohonan maaf cetek tidak boleh menebusnya,” kata bekas tahanan Operasi Lalang yang lantang bersuara itu dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Bersatu, Dr Mahathir membuat meminta maaf secara terbuka atas kesilapan silamnya.

Walaupun begitu, beliau tidak menjelaskan secara terperinci apakah kesilapan yang dimaksudkan, mengatakan ia adalah “adat” orang Melayu jika ada pihak yang merasa tersinggung.

Kua berkata ahli politik veteran seperti Dr Mahathir dan Lim Kit Siang dari DAP tidak sewajarnya terus memegang kuasa.

Katanya, harapan tahun barunya adalah untuk melihat lebih ramai ahli politik muda yang menerajui negara ke arah masa depan lebih baik.

Bekas ahli politik DAP dan ahli Parlimen Petaling Jaya (1990-1995) itu menambah, semakin lama seseorang memegang kuasa, semakin berisiko untuk terlibat dalam korupsi.

“Prinsip demokratik untuk tidak membenarkan sesiapa sahaja memegang jawatan yang mengawal atau berkuasa selama-lamanya adalah demi kebaikan bersama dan ia merupakan satu keperluan mendesak dalam perubahan demokratik di Malaysia,” kata Kua lagi.

Katanya, tiada sesiapa yang wajar memegang jawatan perdana menteri, ketua menteri atau menteri besar lebih daripada dua penggal, dan penggal ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) perlu dihadkan tidak lebih daripada empat penggal. – 31 Disember, 2017.

Berita penuh di sini.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen