Langkah baharu selepas Sheraton


KINI genap setahun peristiwa Langkah Sheraton yang menyaksikan Kerajaan Pakatan Harapan (Harapan) telah dijatuhkan melalui pintu belakang dengan menggunakan alasan paling tidak munasabah - mahu mewujudkan sebuah pemerintahan yang didominasi oleh ‘Melayu-Islam’ pimpinan parti Bersatu, Umno dan PAS yang dijenamakan sebagai Perikatan Nasional.

Rakyat dimomokkan dengan kisah dongeng bagaimana sebuah Kerajaan ‘Melayu-Islam’ tanpa DAP perlu segera dibentuk demi kebaikan rakyat terutama sekali kepada orang Melayu dan umat Islam khususnya.

Malangnya selepas setahun berlalu, tidak ada agenda, misi dan pencapaian yang boleh dibanggakan dan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia merentas negeri, agama dan bangsa dari pemerintahan kerajaan ‘Melayu-Islam’ ini.

Pemerintahan kerajaan ‘Melayu-Islam’ ini menyaksikan jumlah pengangguran rakyat terus meningkat kepada 772,900 orang pada kadar 4.8% pada Disember 2020 dan tidak ada rancangan pemulihan ekonomi yang berjaya dibuat sehingga hari ini.

Pemerintahan kerajaan ‘Melayu-Islam’ juga telah mengabaikan janji pemberian komputer riba kepada 150,000 murid berjumlah RM150 juta seperti yang dihebahkan semasa pembentangan Belanjawan 2021 sehingga hari ini.

Kegagalan menunaikan janji ini telah memaksa ibu-bapa daripada golongan B40 terpaksa mencari alternatif lain untuk mendapatkan peranti bagi keperluan pembelajaran anak-anak mereka termasuk mendapatkannya daripada Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang.

Kerajaan ‘Melayu-Islam’ juga sering mencanangkan bahawa mereka serius dalam melawan Covid-19 tetapi peruntukan kepada kawasan Parlimen Pembangkang pula dipotong seolah-olah mahu menyukarkan misi setiap Parlimen Pembangkang untuk membantu rakyat yang susah, lapar dan sakit. Akhirnya, rakyat pula yang menjadi mangsa hukuman politik kerajaan ‘MelayuIslam’ PN.

Apa pula jawapan kerajaan ‘Melayu-Islam’ apabila lebih 30,000 syarikat di negara ini telah menutup operasi mereka sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang bermula pada Mac tahun lalu?

Malah lebih 9,000 daripada jumlah tersebut merupakan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Penutupan beberapa buah kilang industri yang berpindah ke negara jiran hanya mengesahkan bahawa kerjasama Bersatu, Umno dan PAS dalam Kerajaan PN tidak lebih dari sekadar kosmetik dan jenama sahaja yang akhirnya tidak memberi apa-apa makna kepada rakyat.

Ketiga-tiga parti Bersatu, Umnodan PAS yang membentuk Kerajaan PN sepatutnya mampu menarik lebih banyak pelaburan baharu daripada luar kerana gabungan yang dibentuk atas nama bangsa dan agama ini kerap kali mendakwa mereka adalah sebuah Kerajaan yang stabil dan mempunyai keabsahan.

Kestabilan tersebut seharusnya diterjemahkan dalam bentuk hasil pelaburan dan kegiatan ekonomi yang memberi keuntungan kepada rakyat. Malangnya ia tidak berlaku sehingga hari ini.

Sebaliknya, Kerajaan ‘Melayu-Islam’ ini terlalu sibuk menyoal kesetiaan yang diikrarkan, sentiasa menyuarakan rasa sangsi dan tidak lagi mempercayai antara satu sama lain.

Selepas beberapa siri pertukaran kepimpinan kerajaan negeri melalui undi di dalam Dewan Negeri, lompat parti dan pilihanraya negeri dalam tempoh PKP, ikatan ketiga-tiga parti tersebut hanya menunggu masa sahaja untuk terlerai.

Kerajaan yang dibina atas nama pengkhianatan akan runtuh melalui pengkhianatan juga.

Sempena mengingati tragedi Langkah Sheraton yang kini genap setahun, ahli politik harus ingat bahawa kuasa dan pangkat yang dikejar bukan kunci kepada kejayaan sebuah negara.

Lebih penting dan utama adalah iltizam politik dan kesungguhan menjaga rakyat. Sebuah kerajaan yang telus, bersih dan adil adalah kerajaan yang mengunakan ruang dan peluang yang ada untuk mentadbir dengan baik untuk rakyat.

Yang utama bukan jenama agama dan bangsa tetapi komitmen melindungi negara.

Fokus dan cabaran kami adalah untuk terus mengangkat suara rakyat yang susah, lapar dan sakit.

Biarpun kuasa sudah bertukar tangan, ia tidak boleh menjadi alasan kepada kami untuk tidak berbuat apa-apa dan menunding jari seperti yang dibuat kerajaan hari ini.

Langkah Sheraton tidak akan sesekali memadamkan ikhtiar dan usaha yang kami bina untuk sebuah negara yang sejahtera.

Rakyat adalah tuan. Ahli politik harus ingat bahawa kita hanya wakil yang harus menurut kehendak dan kemahuan rakyat. – 23 Februari, 2021.

* Mohd Shafie Apdal merupakan Ahli Parlimen Semporna dan Presiden Warisan serta Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ahli Parlimen Muar dan Presiden Muda. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen