WHO kecam negara kaya monopoli vaksin Covid-19


Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata sesetengah negara kaya berurusan terus dengan pengeluar sehingga peruntukan vaksin yang dipersetujui melalui program Covax berkurangan. – Gambar EPA, 23 Februari, 2021.

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) mengecam tindakan kebanyakan negara berpendapatan tinggi yang memonopoli vaksin Covid-19, sekali gus menghalang negara miskin untuk mendapatkannya.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata sesetengah negara kaya berurusan terus dengan pengeluar sehingga peruntukan vaksin yang dipersetujui melalui program Covax berkurangan.

Ketua agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) itu berkata peruntukan disediakan bagi membeli vaksin selain sumbangan Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jerman, namun tidak dapat dilakukan.

Sehubungan itu,  Tedros mendesak negara kaya untuk memeriksa terlebih dulu keperluan masing-masing supaya tidak mengganggu program Covax, yang mana negara miskin sedang menunggu dos pertama mereka.

“Kami hanya dapat memberikan vaksin kepada negara yang menjadi anggota Covax jika negara berpendapatan tinggi bekerjasama dalam menghormati perjanjian yang dilakukan Covax.

“Walaupun anda ada wang, tetapi tidak boleh membeli vaksin, ia tidak membawa apa-apa makna,” katanya pada sidang media secara maya dengan Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier.

Tedros juga menggesa syarikat farmaseutikal yang tidak membuat vaksin Covid-19 untuk memanfaatkan kemudahan mereka bagi menghasilkan vaksin syarikat lain, seperti dilakukan Sanofi untuk Pfizer-BioNTech.

Kira-kira 145 ekonomi negara di bawah Covax akan menerima 337.2 juta dos dan Covax berharap dapat menaikkannya hingga 27% vaksinasi penduduk di negara berpendapatan rendah dapat dilakukan menjelang akhir Disember ini. – AFP, 23 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen