Mahfuz Omar umum keluar PAS


Radzi Razak

Mahfuz Omar juga pernah menggesa PAS bekerjasama semula dengan Pakatan Harapan dan mencari titik persamaan yang dapat menyatukan mereka. Beliau berucap dalam satu ceramah pada 13 Ogos 2017 – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember 2017.

AHLI Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar mengesahkan bahawa beliau akan meninggalkan parti PAS.

Beliau mengumumkan perkara itu dalam sidang media disiarkan menerusi laman Facebook parti Amanah hari ini.

“Saya akan meghantar surat peletakan jawatan kepada setiausaha agung PAS hari ini pada jam 11.59 malam,” katanya.

Mahfuz juga berkata beliau akan mengambil masa untuk berehat sebelum mengumumkan parti yang akan disertainya selepas ini.

Pengumumannya hari ini mengesahkan laporan The Malaysian Insight pada malam tadi.

Beliau sebelum ini dilihat sering menentang pemimpin parti sehingga menimbulkan kemarahan pimpinan PAS yang mahukannya keluar parti.

Mahfuz turut mengaku beliau sentiasa cuba berbincang dengan kepimpinan PAS dalam usaha untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) namun fasa kerjasama telahpun berakhir.

Bagaimanapun Mahfuz berkata pemergian beliau daripada parti yang dianggotai sejak 34 tahun lalu itu bukanlah satu keputusan yang mudah.

“Sepanjang masa ni, saya berjuang dari dalam dengan harapan PAS akan menyertai Pakatan Harapan. Tapi fasa itu dah berlalu.

“Sekarang jelas PAS tak bersedia untuk menyertai Pakatan Harapan,” kata beliau.

Justeru beliau berkata tugas baru beliau adalah untuk mengajak ahli PAS sendiri untuk mengundi PH.

“Ada yang tak berani tunjuk sokongan secara terbuka kerana masih ahli PAS tapi saya beritahu mereka, boleh jadi ahli parti (PAS) tapi sokong Pakatan. Saya difahamkan ini yang sedang berlaku dalam PAS walaupun dinafikan kepimpinannya,” kata beliau.

Mahfuz berkata semua parti dalam PH - PKR, Amanah, Bersatu dan DAP telah membuat tawaran namun beliau masih tidak membuat sebarang keputusan.

Bagaimanapun beliau mengaku berminat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Terima kasih atas tawaran, tapi saya nak berehat dulu. Saya akan buat pengumuman sebelum PRU.

“Saya akan biar Pakatan Harapan tentukan (tempat saya bertanding),” kata beliau.

Mahfuz turut menyatakan beliau tidak kisah sekiranya Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri sekiranya PH berjaya memenangi PRU14.

“Umur tak ada masalah. Lagi baik orang tua dari orang muda yang menyamun,” katanya lagi.

Mahfuz turut berharap Dr Mahathir, bekas ahli Parlimen Kubang Pasu selama 30 tahun akan bertanding di Kedah, sama ada di kawasan lamanya atau di Langkawi - di mana pemimpin berusia 92 tahun itu mempunyai pengaruh besar. – 30 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen