Buka sekolah semula tindakan terburu-buru


MENTERI Pendidikan, Senator Mohd Radzi Md Jidin hadir dengan kenyataan yang menambah beban rakyat apabila mengumumkan sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi sesi pembelajaran bersemuka akan dibuka secara berperingkat mulai 1 Mac depan.

Murid sekolah rendah Tahun Tiga, Empat, Lima dan Enam pula akan bermula pada 8 Mac ini.

Ini merupakan satu keputusan dan tindakan yang terburu-buru kerana ia telah diputuskan dalam tempoh masa yang amat singkat iaitu tujuh hari sebelum sesi persekolahan dibuka.

Kita sedia maklum pada 16 Februari 2021, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dijadualkan tamat pada 18 Februari akan dikekalkan di empat negeri bermula 19 Februari hingga 4 Mac iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.

Secara tidak langsung, ini bermakna sesi persekolahan akan mula dibuka melibatkan empat negeri berkenaan dalam keadaan PKP belum tamat sepenuhnya, lebih malang lagi apabila ia melibatkan murid prasekolah dan murid Tahun 1 dan 2.

Ia bertambah parah apabila KPM baru-baru ini telah memperkenalkan saluran khusus TV Pendidikan yang dikenali sebagai DidikTV KPM yang memulakan siaran pertamanya pada 17 Februari sdan inisiatif ini dijalankan bagi meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti bagi semua murid di seluruh negara.

Susulan daripada itu, sebahagian besar ibu bapa dan penjaga telah berusaha bagi mendapatkan peranti digital yang sesuai dimanfaatkan bagi memastikan sesi pembelajaran anak-anak mereka dapat berjalan dengan lancar.

Saya menyeru supaya kerajaan khususnya KPM dapat menelusuri dan mengkaji semula arahan yang sudah diputuskan supaya ia dapat meringankan beban ibu bapa yang sudah bertungkus-lumus bekerja keras untuk menyediakan ruang dan alatan yang kondusif dan efektif buat anak-anak mereka.

Setelah hampir setahun, anak-anak sekolah rendah dan menengah mengalami kesukaran dalam meneruskan pembelajaran atas talian, jangan pula bebankan mereka dengan mengambil risiko dijangkiti penularan wabak Covid-19 sejurus sesi persekolahan ini dibuka.

* Firzan Hakimi, Naib Presiden Mahasiswa PKR dan Ketua Penerangan Pemuda PKR Damansara.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen