Azmin pertahan mufti yang difitnah Azwan Ali


Tidak wajar mana-mana individu mempersendakan dan memperlekehkan mufti kerana kepentingan politik, kata Azmin Ali. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2017.

MENTERI Besar Selangor Mohamed Azmin Ali mempertahankan mufti di Twitter bukan saja selepas kritikan Dr Mahathir Mohamad tetapi selepas adiknya, Azwan Ali memperlekehkan mufti dalam satu wawancara dengan Malaysiakini semalam.

Azwan yang kini bekerjasama dengan Umno untuk menjatuhkan Azmin dan kerajaan Selangor berkata dia selalu ditegur oleh mufti yang didakwanya memberi label kepadanya dengan istilah Islam.

“Helo mufti, boleh tak kau memperbetulkan 1,001 permasalahan orang Islam di Malaysia daripada kau sibuk nak tegur Azwan Ali?”

Azwan bagaimanapun tidak menamakan mufti terbabit dan berkata para mufti harus lebih menumpukan isu-isu lain dan bukan dirinya.

Azwan kemudian menyanyikan sebaris lagu “Abang nak tegur” nyanyian Alif Syukri dan Nur Sajat.

“Tak perlu tegurlah, buang masa saja,” kata Azwan seperti dipetik Malaysiakini.

Selepas wawancara itu diterbitkan semalam, Azmin menulis di akaun Twitternya bahawa mufti tidak harust difitnah dan digunakan untuk mendapatkan meraih sokongan politik.

“Tidak wajar mana-mana individu mempersendakan dan memperlekehkan mufti kerana kepentingan politik. Kita boleh berbeza pandangan tapi jangan aibkan orang lain. 

“Memfitnah mufti adalah satu tindakan keterlaluan. Taubat nasuha. Hentikan sandiwara,” tweet Azmin.

Tweet Azmin itu juga menyusul beberapa jam selepas pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamed menyalahkan mufti kerana gagal menghalang tragedi Memali.

Dr Mahathir berkata tragedi Memali tidak akan berlaku sekiranya mufti menegur Amanat Hadi, iaitu ucapan presiden PAS Abdul Hadi Awang pada 1981 yang didakwa mendorong penyokong PAS untuk menentang Umno dan Barisan Nasional dengan keganasan. 

Azwan telah menawarkan diri untuk membantu Umno menjatuhkan abang kandungnya itu dalam PRU14 sebagai hadiah kepada Presiden Umno Najib Razak.

Pada 20 Disember lalu, dia telah menyerahkan dokumen kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwanya membuktikan kes salah laku seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan kemewahan melampau individu itu.

Bagaimanapun, Azwan berteka-teki dan enggan menamakan individu berkenaan mahupun jenis bukti yang diberikan.

Menurutnya, “bukti” tersebut dihimpun sepanjang kariernya hampir tiga dekad dalam industri hiburan. – 31 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • bila dah takut dgn serangan adik sendiri mcm2 dilakukan olehnya utk mengalihkan perhatian org ramai...kalau betul kata tak salah kenapa nak takut dgn laporan yg diberikan kpd sprm..nmpk sngt mcm ade bnde nak sorok..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan