Bimbang veteran lompat parti, PAS tubuh sayap khas


Semenjak penubuhan Amanah, semakin ramai pemimpin kanan parti tersebut meninggalkan parti kerana bergeser dengan kem ulama yang dikepalai Presiden PAS Abdul Hadi Awang. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 April, 2017.

PAS tubuhkan satu sayap baharu dinamakan Assabiqun dalam parti itu untuk mengelakkan golongan tersebut berpaling tadah dan menyertai parti lain.

Pengerusi sayap berkenaan, Subky Abdul Latif dilaporkan berkata selain mengelak veteran PAS dipancing parti lain, ia turut bertujuan mendekati golongan berkenaan.

“Mungkinlah ada perasaan rasa terpencil setelah tidak lagi memegang jawatan dalam parti.

“Bagi orang muda yang menerajui parti sekarang jenguk-jenguklah golongan assabiqun bagi mendekatkan mereka dengan arus perjuangan,” katanya seperti dipetik dalam laporan lidah parti PAS, Harakahdaily.

Beliau berucap ketika majlis pelancaran sayap Assabiqun Negeri Kelantan semalam, yang disempurnakan Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob.

PAS kehilangan ramai golongan veterannya selepas parti itu memutuskan kerjasama dengan DAP, parti gabungan dalam Pakatan Rakyat.

Barisan pemimpin veteran PAS, antaranya Mohamad Sabu dan Salahuddin Ayub bertindak keluar parti dan menubuhkan Amanah, yang kini merupakan parti dalam gabungan baharu blok pembangkang Pakatan Harapan.

Semenjak penubuhan Amanah, semakin ramai pemimpin kanan parti tersebut meninggalkan parti kerana bergeser dengan kem ulama yang dikepalai Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Keadaan ini turut berpunca daripada pemilihan parti PAS 2015 yang menyaksikan kem ulama PAS hampir menyapu bersih keseluruhan jawatan parti yang dipertandingkan dan menyebabkan golongan profesional tidak mendapat tempat dalam parti.

Ini termasuklah ketua pembangkang Kedah merangkap ADUN Anak Bukit Amiruddin Hamzah yang melepaskan jawatannya selaku yang dipertua PAS Kuala Kedah untuk menyertai parti Bersatu.

Selain itu, Adun Salor dan bekas naib presiden PAS Husam Musa juga meninggalkan parti setelah tidak selari dengan kepimpinan sekarang.

Seorang lagi bekas naib presiden PAS Mahfuz Omar juga dijangka keluar parti hari ini untuk menjadi ahli Parlimen bebas.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • tiada lama maka tiadalah yg baru..jd sama2 bekerjasama bg memastikan sesuatu benda dapat dijalankan dgn baik..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan