Walau bebas awal belum tentu Anwar jadi PM


Amin Iskandar Looi Sue-Chern

Peguam berkata sukar untuk Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri kerana perlu jalani lima tahun lagi sebelum memperoleh kelayakannya sebagai ahli Parlimen semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 September, 2017.

ANWAR Ibrahim tidak dapat menjadi perdana menteri meskipun jika beliau dibebaskan awal dari penjara, kecuali peruntukan perlembagaan yang menghilangkan kelayakannya bertanding pada pilihan raya umum (PRU) dimansuhkan oleh Yang di-Pertuan Agong, kata peguam.

Di bawah Artikel 48 Perlembagaan Persekutuan, seorang ahli Parlimen hilang kelayakan jika disabitkan bersalah dan dijatuhi hukuman penjara tidak kurang setahun, atau denda tidak kurang RM2,000, dan tidak menerima pengampunan.

Kehilangan kelayakan seseorang dari Parlimen boleh dimansuhkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Jika tidak, ia akan berakhir pada penghujung lima tahun, bermula dari tarikh seseorang itu dibebaskan dari tahanan penjara.

Jadi, tidak kiralah berapa cepat Anwar dibebaskan, beliau masih tidak layak menyertai pilihan raya selama lima tahun dari hari pertama dibebaskan.

PKR berkeras agar Anwar dilantik sebagai perdana menteri. Ia merupakan salah satu daripada tiga syarat PKR untuk bersetuju dengan pencalonan pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sementara. Dua lagi syarat ialah agar PKR dapat bertanding paling banyak di kerusi Parlimen semenanjung Malaysia dan juga supaya Dr Mahathir bersetuju untuk membuat perubahan dalam institusi utama dalam negara.

Tidak kira berapa awal pun Anwar dapat dibebaskan dari penjara, beliau masih tidak layak menyertai PRU bagi tempoh lima tahun dari hari pembebasannya, kata peguam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2017.

Pemimpin PKR tidak menafikan tiga syarat berkenaan dan PH pula masih belum memberi kata putus untuk menamakan calon perdana menteri. Kecuali PKR, parti komponen lain, Bersatu, DAP dan Amanah bersetuju untuk mencadangkan nama Dr Mahathir.

Sesetengah penganalisis politik melihat, langkah menamakan Dr Mahathir sebagai calon adalah strategi yang boleh memberi kemenangan dengan meyakinkan pengundi Melayu.

Anwar dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun pada 10 Februari, 2015 selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Cakap-cakap tentang pembebasan awamnya timbul kembali apabila Perdana Menteri Najib Razak, timbalannya Ahmad Zahid Hamidi dan menteri Mohamed Nazri Aziz melawat Anwar di penjara secara berasingan pada November dan ketika Anwar mendapat rawatan di hospital.

Semua tahanan layak menerima pengurangan hukuman satu pertiga secara automatik, kata peguam Baljit Sigh Sidhu.

Katanya, ini bermakna Anwar mungkin keluar penjara pada Jun tahun depan, iaitu 20 bulan lebih awal daripada tempoh lima tahun hukuman.

Koordinator Free Anwar Campaign Yusmadi Yusoff berkata tiga pemimpin negara melawat Anwar Ibrahim dilihat sebagai pengiktirafan dan menunjukkan beliau bukan lagi “musuh negara”. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2017.

Tahanan boleh dibenarkan keluar lebih awal jika berkelakuan baik sepanjang menjalani hukuman.

“Pada asasnya itu bermakna tahanan tidak boleh buat masalah. Sesiapa saja boleh diberikan pengurangan hukuman, kecuali jika orang itu timbulkan masalah dalam penjara,” kata Baljit yang juga ahli jawatankuasa undang-undang jenayah Majlis Peguam.

Ketika gambar lawatan Najib, Zahid dan Nazri mencetuskan kekecohan di media sosial dengan dakwaan ia kempen pilihan raya oleh BN, ada juga pihak yang melihatnya sebagai pengiktirafan bahawa Anwar bukan lagi “musuh negara”, kata Koordinator Free Anwar Campaign, Yusmadi Yusoff.

“Malah perdana menteri, timbalan dan menteri kanan melawat Anwar dengan penuh mesra. Najib juga mengakui lawatan tersebut dibuat kerana sifat kemanusiaan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Nazri juga mengatakan lawatannya atas sebab persahabatan. Bagi saya ini nilai yang sepatutnya digunakan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan kepada Anwar untuk dibebaskan,” kata peguam dan bekas ahli Parlimen Balik Pulau daripada PKR itu.

Yusmadi dan Baljit berkata jika Anwar tidak diberikan pengurangan hukuman itu, satu-satunya cara untuk pembebasan awal ialah menerusi pengampunan diraja.

Ia boleh dilakukan apabila Yang di-Pertuan Agong mengampunkan seseorang tahanan mengikut nasihat Lembaga Pengampunan.

Yusmadi berkata lawatan tiga pemimpin itu jelas menunjukkan bahawa mesej tersebut ditujukan kepada Lembaga Pengampunan.

“Bagi saya, Lembaga Pengampunan mesti bersikap bertanggungjawab. Ini isyarat pimpinan tertinggi negara,” katanya.

PKR mendesak Anwar Ibrahim yang kini dipenjarakan dilantik sebagai perdana menteri dalam tempoh setahun jika PH berjaya merampas kuasa persekutuan pada PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2017.

Yusmadi berkata sepanjang ditahan di Penjara Sungai Buloh, Anwar menjadi rujukan kepada tahanan lain, menjadi tempat mengadu nasib dan sering memberikan nasihat kepada golongan tersebut mengenai kehidupan.

“Saya dimaklumkan oleh pegawai penjara, di mata tahanan lain, Anwar seorang yang sangat positif dan sentiasa menjadi inspirasi.

“Ramai tahanan yang berjumpa Anwar untuk bertanyakan pandangan, termasuk tahanan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) yang minta nasihat Anwar dan Anwar ada merujuk kepada saya,” katanya yang juga setiausaha politik kepada isteri Anwar, Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Yusmadi berkata antara sebab untuk Anwar dibebaskan serta-merta ialah tuduhan RM9.5 juta yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, dikatakan dibayar kepada peguam Umno Shafee Abdullah, yang juga pendakwa raya dalam perbicaraan Anwar.

Free Anwar Campaign dan pembangkang mendakwa kes terhadap Anwar bermotifkan politik dan Anwar dianiaya, dan pandangan itu turut dikongsi oleh Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan International Parliamentary Union (IPU).

Yusmadi berkata, terdapat juga tuduhan penghakiman yang berat sebelah dan salah laku pendakwaan ketika perbicaraan. – 31 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Nama pon bekas banduan..nak layak jd PM macam mana..jangan bermimpilah anwar nak jd PM..penyokong PH semua angan2 mat jenin je.,..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan