Pulau Pinang mampu capai sasaran pelaburan jika sekatan dibatal, kata penasihat negeri 


Ragananthini Vethasalam

Sekatan pergerakan menjadi penghalang kepada usaha yang diperlukan bagi menarik pelaburan baharu ke Pulau Pinang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Februari, 2021.

INVEST Penang yakin negeri itu mampu mencapai sasaran dalam menarik pelaburan bernilai RM5 bilion pada 2021 sekiranya sekatan perjalanan dibatalkan dalam suku pertama tahun ini, kata Pengarah Eksekutifnya Lee Kah Choon.

Penasihat khas pelaburan kepada ketua menteri Pulau Pinang itu berkata sekatan pergerakan menjadi penghalang kepada usaha yang diperlukan bagi menarik pelaburan baharu.

“Penutupan sempadan mengurangkan usaha fizikal di lapangan untuk pelaburan baru. Namun, kami mengambil langkah awal sementara menunggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibatalkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Negeri itu kini memfokuskan kepada membantu pelaburan semula dan pengembangan pelabur sedia ada.

“Bidang ini sangat menggalakkan,” katanya.

Pulau Pinang dikenakan PKP sejak 14 Januari, yang mana kini ia dilanjutkan sehingga 4 Mac. Syarat bagi PKP kedua lebih longgar untuk makan di luar dan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi, namun masih melarang perjalanan rentas negeri dan daerah.

Lee berkata pandemik Covid-19 mengubah cara perniagaan dijalankan, mewujudkan pertumbuhan bidang baharu dan menghapuskan teknologi lama.

“Norma baharu pastinya mengubah aliran pelaburan langsung asing (FDI), bagaimana sektor pembuatan dijalankan dan apa barangan yang ada permintaan. Ia sudah pasti akan memberi kesan kepada industri,” tambahnya.

Ditanya sama ada prospek ekonomi dijangka lebih baik selepas program vaksinasi di seluruh negara, Lee berkata pemulihan adalah secara berperingkat kerana ia mengambil masa untuk mencapai imuniti.

“Pertumbuhan keseluruhan adalah secara berperingkat tetapi beberapa sektor mungkin pulih disebabkan oleh permintaan yang meningkat,” katanya.

Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), Pulau Pinang menjana RM10.6 bilion dalam pelaburan pembuatan yang diluluskan pada sembilan bulan pertama 2020, ketika pelbagai sekatan pergerakan dilaksanakan.

Daripada RM10.6 bilion, RM1.5 bilion pelaburan diluluskan diperoleh pada suku ketiga sahaja.

FDI menyumbang kepada 83% daripada RM10.6 bilion, manakala Pelaburan Domestik Langsung bagi tempoh di bawah semakan berjumlah RM1.1 bilion.

Ini menjadikan Pulau Pinang sebagai penyumbang kedua terbesar FDI dalam negara, iaiu 22% daripada jumlah keseluruhan negara.

Pada 2019, negeri itu merekodkan pelaburan RM16.9 bilion. – 20 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen