10 daripada 13 kluster berkait dengan tempat kerja, kata KP Kesihatan 


Ragananthini Vethasalam

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah turut mengumumkan sembilan kluster tidak lagi aktif. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Februari, 2021.

HANYA tiga daripada 13 kluster baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini tidak berkaitan tempat kerja.

Kluster tempat kerja terus mendominasi senarai kluster harian, yang mana Kementerian Kesihatan melaporkan 10 kluster baharu hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan dalam kluster berkenaan di negara ini 511.

Kluster Kubang Jambu di Kuala Nerus, Terengganu melaporkan tujuh kes.

Kluster berkenaan yang melibatkan kumpulan berisiko tinggi dikesan di pusat kesihatan Kampung Bukit Kubang Jambu.

Bukit Petiti, merupakan kluster kedua tidak berkaitan tempat kerja yang dilaporkan hari ini turut dikesan di Terengganu. Kluster berkenaan yang diklasifikasikan sebagai penularan komuniti mencatat 15 kes dan melibatkan keluarga dan rakan pesakit indeks bergejala.

Sementara itu, satu lagi kluster penularan komuniti dikenali sebagai Jalan Green dikesan di Kuching, Sarawak. Kluster yang mempunyai enam kes jangkitan itu dikaitkan dengan perhimpunan dan dikesan daripada tahanan.

Johor menyumbang kluster tempat kerja paling tinggi dengan lima kes.

Lima kluster terbabit adalah Jalan Kota Murni (12), Jalan Murni 12 (339), Jalan Tun Mutahir (7), Jalan Indah Utama (23) dan Parit Haji Khamis(9).

Selangor melaporkan dua kluster tempat kerja iaitu Kompleks Perabut dan Jalan Sementa masing-masing melaporkan 21 dan 12 kes.

Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak pula masing-masing melaporkan satu kluster.

Dr Noor Hisham turut mengumumkan sembilan kluster sudah tidak aktif. – 19 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen